suria

Palestin Peringati Ulang Tahun Serangan Israel Ke Atas Flotila

SEMENANJUNG GAZA: Rakyat Palestin yang dikenakan sekatan di Semenanjung Gaza memperingati ulang tahun pertama serangan Israel ke atas 'Feedom Flotilla' yang membawa aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia.

Mereka menyatakan penghormatan dan simpati untuk sembilan keluarga rakyat Turki yang terbunuh dalam serangan itu, yang berlaku di perairan antarabangsa.

Sambil mengibarkan bendera Palestin dan Turki, sekumpulan rakyat Palestin belayar menaiki bot ke Gaza Seaport dan menyeru agar sekatan itu dihentikan segera yang dikuatkuasakan ke atas Gaza sejak 2007, selepas Hamas mengambil alih kuasa di kawasan pantai itu.

Mereka membuang lingkaran bunga ke dalam laut sebagai tanda simbolik memperingati roh aktivis yang terbunuh.

"Ini sahaja yang mampu kami berikan untuk semua hero-hero berkenaan. Mereka berhak untuk semuanya kerana mereka berkorban untuk segala-galanya," kata salah seorang peserta.

Pada 31 Mei tahun lepas, tentera laut rejim Yahudi telah menggunakan kekerasan terhadap enam kapal yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis, kebanyakan daripada mereka adalah warganegara Turki dan Eropah, yang cuba menembusi sekatan empat tahun Israel terhadap Gaza. Seramai sembilan aktivis Turki terkorban dan 12 orang tercedera. Aktivis selebihnya ditahan dan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Ketua Pentadbiran Hamas di Semenanjung Gaza Ismael Haniyeh merasmikan sebuah tugu peringatan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa flotila di pantai Gaza, sambil meletakkan lingkaran bunga.

Penyelaras kempen Amjad Al-Shawa berkata penduduk Palestin tidak akan dapat melupakan darah mangsa-mangsa yang terkorban demi perjuangan Palestin.

"Rakyat Palestin hari ini menyatakan penghormatan untuk mereka yang terkorban demi agama dan mereka yang tercedera dalam Freedom Flotilla, yang telah berkorban demi memperjuangkan kebenaran dan keadilan," katanya.

Aktivis British Ebrahim Musaji, yang turut serta dalam konvoi Freedom Flotilla tahun lepas, menyingkap semula tragedi berdarah itu yang masih segar dalam ingatannya. Katanya 'insiden kejam' itu yang disaksikan oleh beliau dan rakan-rakannya tidak akan menghalang beliau untuk menyertai misi kemanusiaan lain bagi menamatkan kepungan ke atas Gaza.

Bercakap dengan penuh semangat, aktivis berusia 27 tahu itu berkata beliau percaya mereka yang terkorban demi agama akan memasuki syurga.

"Peristiwa itu menunjukkan betapa rendah pemikiran pihak musuh, dan bagaimana mereka takut kepada orang-orang yang mahu membantu.

"Mereka mengambil semua bantuan kami, tetapi mereka tidak akan berjaya memadamkan perasaan kasih kami kepada rakyat Palestin," kata aktivis itu kepada BERNAMA.

Artikel Lain