JAKARTA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tiba di sini pada Ahad untuk lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, yang dilihat sebagai satu lagi perkembangan yang mempamerkan hubungan baik Malaysia dan Indonesia.Ini merupakan kunjungan kedua Seri Paduka berdua ke Indonesia selepas lawatan negara pada bulan Februari 2007. Keberangkatan tiba baginda berdua dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma disambut Menteri Luar Negeri Indonesia Dr Marty Natalegawa serta Menteri Pendidikan Nasional Indonesia Prof Mohammad Nuh yang bertindak sebagai Menteri Pengiring Kerajaan Indonesia.Turut berada di lapangan terbang ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan para pegawai kanan kedutaan besar Malaysia di Jakarta.Dua orang puteri baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatmatuz Zahra' turut serta dalam rombongan yang disertai oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pengiring dari Malaysia serta delegasi para kanan Kerajaan Malaysia.Petang ini, Seri Paduka akan diberikan acara sambutan rasmi di Istana Merdeka, di sini. Di Istana Merdeka, baginda berdua akan mengadakan kunjungan ke atas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Ibu Negara Ibu Ani Yudhoyono.Tuanku Mizan kemudiannya akan menerima anugerah tertinggi Indonesia Bintang Republik Indonesia Adipurna daripada Presiden Yudhoyono. - BERNAMA