suria

Gesaan Putin Wujudkan Kesatuan Eurasian Di Kalangan Bekas Anggota Kesatuan Soviet Cetuskan Kontroversi

ST. PETERSBURG: Tindakan dan usaha gigih yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin untuk mewujudkan satu kesatuan yang dinamakan “Kesatuan Eurasian” telah mencetuskan kontroversi bahawa beliau kini berusaha untuk menghidupkan kembali “Kesatuan Soviet” yang kuat dan pernah menjadi kuasa dunia suatu ketika dahulu.

Ini kerana “Kesatuan Eurasian” yang dicadangkannya itu adalah terdiri daripada negara-negara yang pernah menjadi sebahagian daripada “Kesatuan Soviet”.

Beliau memulakan langkah tersebut dengan mengumumkan pada Rabu akan cadangan untuk mewujudkan zon bebas dagang di kalangan negara-negara bekas Kesatuan Soviet.

Putin yang juga merupakan bekas presiden Rusia dan pengarah KGB (pada era Kesatuan Soviet dahulu) telah meletakkan pembentukan Kesatuan Eurasian sebagai keutamaannya selepas mengisytiharkan hasratnya untuk kembali merebut jawatan presiden.

Mengikut undang-undang Persekutuan Rusia, presiden tidak boleh memegang jawatan melebihi dua penggal tetapi boleh kembali menyandang jawatan tersebut kemudian.

Selepas menjadi presiden Rusia selama dua penggal, Putin telah ‘menyerahkan’ jawatan tersebut kepada anak didiknya, Dmitry Medvedev dan sebagai balasan Medvedev telah melantik Putin sebagai perdana menteri. Sebelum terpilih sebagai presiden, Medvedev adalah perdana menteri di bawah pentadbiran Putin.

Cakap-cakap di Kremlin kini mengatakan, Putin akan sekali lagi bertukar jawatan dengan Medvedev bagi memastikan pentadbiran yang ada sekarang terus kukuh.

Pilihan raya presiden akan berlangsung Mac tahun hadapan.

Putih buat pertama kalinya memperkatakan tentang Kesatuan Eurasian ini dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada 4 Oktober baru-baru ini.

Namun idea ini dengan segera disanggah dan ditentang oleh sebahagian besar anggota senat Amerika dari parti Republikan.

Bagaimanapun Putin telah dipetik sebagai berkata bahawa selepas melalui satu rundingan dan perbincangan yang panjang, mereka (negara-negara bekas Kesatuan Soviet) bersetuju untuk mewujudkan kesatuan baru dengan langkah permulaan memperkenalkan zon bebas dagang sesama sendiri.

Pengumuman tersebut dibuat selepas beliau bertemu dengan perdana menteri-perdana menteri dari kalangan negara-negara bekas Kesatuan Soviet di sini.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, 11 buah negara bekas kesatuan itu telah membentuk satu pakatan longgar yang dinamakan Commonwealth of Independent States (CIS).

Sejak 2005, negara yang kaya dengan sumber tenaga Turkmenistan adalah bekas anggota Kesatuan Soviet yang paling rapat dengan Rusia.

Dalam pertemuan dengan rakan-rakan sejawatannya dari negara bekas Kesatuan Soviet itu, Putin turut menggesa dan mencadangkan bahawa sudah tiba masanya mereka tidak terlalu bergantung kepada mata wang dollar.

Sebaliknya Putin telah mencadangkan kesemua negara bekas Kesatuan Soviet berdagang menggunakan mata wang ruble.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan