suria

Turki Pergiat Usaha Tarik Pelancong Malaysia

SINGAPURA: Menyedari kebanyakan rakyat Malaysia begitu mengagumi keindahan landskap, budaya dan aspek keagamaan yang dimilikinya, Turki sedang mempergiatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia berkunjung ke negara itu.

Dalam temu bual dengan Bernama, Ketua Pengarah (Asia Tenggara) Pejabat Pelancongan dan Penerangan Turki yang berpejabat di Kuala Lumpur, Ali Gulen berkata rakyat Malaysia "sentiasa dialu-alukan untuk berkunjung ke Turki".

Beliau ditemui di sini ketika menyertai ITB Asia 2011 bersama para wakil agensi pelancongan dari seluruh dunia.

"Tempat Indonesia, yang sebelum ini merupakan pasaran terbesar kami, telah diambil alih oleh Malaysia pada tahun lepas.

Pada 2010, kami menerima ketibaan 32,000 pelancong dari Malaysia, berbanding 29,500 pelancong dari Indonesia.

"Bagaimanapun, berdasarkan trend yang tidak kelihatan oleh mata kasar, arah aliran itu dijangka berubah dengan ketara pada tahun ini.

Dengan mengambil kira perkara itu, kami menganggarkan jumlah ketibaan pelancong dari Indonesia akan meningkat kepada 40,000, manakala ketibaan dari Malaysia dan Singapura pula masing-masing berjumlah kira-kira 35,000 menjelang akhir tahun ini," kata Gulen.

Walaupun Pejabat Pelancongan dan Penerangan Turki, yang berpindah ke Kuala Lumpur dari Singapura pada 2003, telah menjalankan promosi dengan penuh strategik untuk menarik ketibaan pelancong dari negara anggota Asean, namun secara khususnya, ia melihat Indonesia dan Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan ketibaan pelancong dari rantau ini ke Turki.

Gulen berkata Turki juga mempunyai banyak tempat menarik yang sesuai dijadikan lokasi penggambaran.

"Hollywood dan Bollywood pernah menjadikan Turki sebagai lokasi penggambaran filem mereka. Industri perfileman Malaysia juga boleh berbuat demikian. Kami mempunyai kemudahan serba lengkap untuk kerja-kerja penggambaran," katanya.

Gulen berkata Turki akan menganjurkan acara berkaitan masakan dan kebudayaan di Kuala Lumpur untuk memperkenalkan kepelbagaian yang wujud di negaranya kepada rakyat Malaysia.

"Kami akan membawa sekumpulan 25 penari, pemuzik, artis dan cef untuk acara itu. Mereka akan mengadakan persembahan dari 28 Okt hingga 5 Nov.

"Seperti Malaysia, Turki juga memiliki kepelbagaian, dengan setiap tujuh wilayahnya mempunyai keunikan budaya dan tradisi masing-masing," katanya.

Gulen berkata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kedatangan pelancong dari Indonesia ke Turki meningkat kira-kira 50 peratus, Malaysia 30 peratus, Singapura 10 peratus dan Thailand 70 peratus.

Jumlah kunjungan berkaitan perniagaan dari Malaysia ke Turki juga melonjak dalam tempoh itu kerana sebagai negara yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang mengagumkan, Turki begitu menarik minat ahli perniagaan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Jumlah rakyat Malaysia yang berkunjung ke Turki juga bertambah berikutan peningkatan kemudahan hubungan penerbangan antara kedua-dua negara.

Pelancongan merupakan penyumbang penting terhadap pertumbuhan ekonomi Turki dan menjana pendapatan berjumlah kira-kira US$21 bilion tahun lepas. Tahun ini, negara itu menjangka meraih pendapatan US$25 bilion melalui sektor itu.

"Sasaran kami ialah meraih hasil sebanyak US$50 bilion melalui pelancongan menjelang 2023," kata Gulen.

Seorang pegawai Turki memberitahu Bernama bahawa perdana menteri negara itu Recep Tayyip Ergodan bercadang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia "dalam tempoh terdekat ini". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Polis Maut Serangan Di Papua

Artikel Berikut

Gempa Bumi Gegar Kepulauan Tonga

Artikel Lain