suria

Amaran banjir meningkat di Bangkok

BANGKOK: Kebimbangan berlakunya banjir di ibu negara Thailand semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra memberi amaran bahawa sebahagian Bangkok bakal menghadapi keadaan itu sehingga sebulan, sementara pihak berkuasa mengumumkan cuti khas selama lima hari untuk membolehkan orang ramai berpindah.

"Selepas meneliti situasi, kami menjangkakan banjir akan kekal di Bangkok sekitar dua minggu ke sebulan sebelum bergerak ke laut.

"Bagaimanapun, situasi tidak seserius di wilayah lain. Kita mungkin tidak menghadapi kenaikan banjir sehingga dua atau tiga meter yang kekal selama dua atau tiga bulan seperti di kawasan berkenaan," kata Yingluck kepada pemberita pada Rabu.

Katanya dalam kenyataan menerusi televisyen lewat Selasa, Bangkok boleh dilanda banjir sehingga 1.5 meter di beberapa tempat jika penghadang pecah dan menasihati para penduduk agar berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Tambahnya, pihak berkuasa akan melindungi lokasi penting seperti istana diraja dan stesen janakuasa.

Banjir di utara, timur laut dan tengah Thailand mengorbankan sekurang-kurannya 366 nyawa sejak pertengahan Julai dan menjejaskan kehidupan lebih 2.5 juta penduduk dengan sejumlah 113,000 di pusat perlindungan dan 720,000 memerlukan rawatan.

Situasi tersebut memaksa penutupan tujuh estet industri di wilayah Ayutthaya, Nonthaburi dan Pathum Thani di sempadan Bangkok yang mengakibatkan kerosakan bernilai berbilion dolar, mengganggu rantaian bekalan antarabangsa bagi tujuan perindustrian dan mengakibatkan 650,000 pekerja diberhentikan buat sementara waktu.

Pihak berkuasa mengumumkan cuti mulai Khamis sehingga Isnin ini untuk memberi peluang kepada orang ramai meninggalkan bandar itu sebelum berlakunya air pasang besar di muara sungai Chao Phraya. - REUTERS

Artikel Lain