GENEVA: Malaysia secara rasminya menyerahkan tangungjawab Pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa (IAB) Perkongsian Multilateral Antarabangsa Menentang Ancaman Siber (IMPACT) kepada Burkina Faso pada persidangan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Telecom World 2011 di sini pada Selasa.Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga merupakan Pengerusi pertama IAB IMPACT, menyerahkan tugas itu kepada Presiden Burkina Faso Blaise Compaore bersempena dengan mesyuarat kedua IAB IMPACT yang berlangsung di samping sidang kemuncak telekomunikasi itu. Abdullah berkata di bawah kepimpinan Compaore, yang mempunyai pengalaman luas dalam telekomunikasi dan hubungan antarabangsa, beliau yakin ITU-IMPACT akan terus meningkat ke tahap yang lebih tinggi.Semasa Malaysia menjadi pengerusi, beliau berkata kerajaan Malaysia dan ITU telah bekerja keras bagi meraih sokongan antarabangsa ke arah usaha berkenaan."ITU dan Malaysia yang mengakui dari awal lagi mengenai sifat tanpa sempadan ancaman siber, dan peningkatan eksponen, bermakna bahawa tiada mana-mana negara atau kerajaan - tidak kira bagaimana kaya atau berkuasa, boleh berjaya dengan berjuang bersendirian," kata beliau pada majlis penyerahan tugas itu di sini.Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.Dengan 137 negara anggota menjadi sebahagian ahli gabungan ini, ITU-IMPACT hari ini telah menjadi pakatan keselamatan siber yang terbesar seumpamanya."Malaysia secara aktif menggalakkan usaha-usaha untuk mengantarabangsakan IMPACT melalui hubungan unik dengan agensi khusus Bangsa-Bangsa Bersatu, ITU," kata beliau.Perjanjian penting IMPACT baru-baru ini dengan ITU yang mengukuhkan kedudukan IMPACT sebagai badan pelaksanaan keselamatan siber agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akan terus menyaksikan badan itu meluaskan sokongan dan perkhidmatan keselamatan sibernya kepada pertubuhan lain dalam sistem PBB.Anggota IAB kini termasuk Setiausaha Agung ITU, Dr Hamadoun Touré; Pengasas & Pengerusi Trend Micro Steve Chang; Pengerusi Oger Systems Ayman Hariri; Ketua Pegawai Penyelidik F-Secure Mikko Hypponen, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky Lab, Eugene Kaspersky dan Pengerusi Lembaga Symantec Corporation John W. Thompson. - BERNAMA