ERCIS, TURKI: Penuntut universiti berusia 18 tahun berjaya diselamatkan daripada runtuhan sebuah bangunan apartmen 61 jam selepas terperangkap akibat gempa bumi yang melanda Timur Turki.Para penyelamat menggunakan kamera kecil dipasang pada kayu untuk mengesan Eyup Erdem dan diberi tepukan gemuruh sebaik sahaja mengeluarkan mangsa daripada runtuhan bangunan pelbagai tingkat itu di sini, kawasan paling kuat dilanda gempa berukuran 7.2 pada skala Richter pada Ahad lalu. Agensi berita Anatolia melaporkan, Erdem yang mengalami kecederaan kini dirawat di hospital berdekatan. Pelajar itu, yang berpindah ke Ercis sebulan lalu sedang mengikuti pengajian mekanikal di sebuah universiti, merupakan mangsa terkini yang diselamatkan hidup-hidup.Dalam pada itu, para penyelamat berhempas pulas bekerja yanpa mengira waktu untuk mencari mangsa yang masih terselamat. Gempa bumi itu mengorbankan sekurang-kurangnnya 459 nyawa.Pegawai Kementerian Kesihatan, Seraceddin Com berkata, kira-kira 40 mangsa berjaya diselamatkan daripada bangunan runtuh pada Selasa.Mangsa termasuk bayi perempuan berusia dua minggu yang dikeluarkan 48 jam selepas gempa. Ibu dan nenek bayi tersebut turut diselamatkan bagaimanapun bapa mangsa masih belum ditemui.Dengan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal atau terlalu takut untuk kembali ke kediaman yang runtuh, Turki berkata ia akan menerima tawaran bantuan antarabangsa, termasuk Israel.Negara tersebut juga memerlukan kediaman pasang siap untuk menempatkan mangsa terselamat menjelang musim sejuk.Israel menawarkan bantuan walaupun hubungan kedua negara tersebut bermasalah berikutan serangan Israel ke atas flotila yang menuju ke Gaza sehingga mengorbankan sembilan aktivis Turki tahun lalu.Kira-kira 1,000 bangunan runtuh sementara 1,350 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan. Memandangkan gempa itu berlaku pada siang hari, orang ramai ketika itu berada di luar kediaman masing-masing berjaya mengelak kesan bencana yang lebih buruk.Hampir 500 gempa kecil menggegarkan kawasan itu, menurut pusat seismologi Kandilli. Gegaran kuat pada Selasa memaksa penduduk lari ke jalan raya dalam keadaan panik selain mencetuskan rusuhan di kalangan banduan sebuah penjara di Van, 90 kilometer di selatan Ercis.Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) mengklasifikasikan gegaran itu pada magnitud 5.7.