suria

Asean Bakal Rombak dan Integrasikan Pengurusan Data

JAKARTA: Asean bertekad memperbaiki dan mengintegrasikan data statistiknya bagi membantu menajamkan perancangan dan penggubalan dasar selain meningkatkan pembangunan di rantau ini menerusi Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti Asean (ACSS) yang baru ditubuhkan.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Ketua Perangkawan atau Ketua Jabatan Perangkaan peringkat Kebangsaan di Asean.

Sekretariat Asean dalam satu kenyataan pada Jumaat menyebut jawatankuasa itu bermesyuarat minggu ini buat pertama kali bagi menandakan pencapaian penting ke arah meningkatkan kerjasama serantau di seluruh Asean.

Menteri Negara Perencanaan Pembangunan Nasional Indonesia Profesor Armida Salsiah Alisjahbana berkata inisiatif itu akan membantu rantau ini untuk melihat lebih banyak angka tepat dan boleh dipercayai, selain data statistik lebih berkualiti berhubung perdagangan barang, perkhidmatan, pelaburan langsung asing dan sektor utama pembangunan.

"Ia akan menajamkan proses membuat keputusan di pihak kerajaan, perniagaan, akademik, kumpulan masyarakat, media dan orang ramai selain membantu membuat unjuran lebih tepat, ukuran, sasaran serta pencapaian ke arah memenuhi Matlamat Pembangunan Millennium," katanya pada majlis pelancaran jawatankuasa itu pada Jumaat.

Timbalan Setiausaha Agung Asean bagi Komuniti Ekonomi Asean Sundram Pushpanathan pula berkata dengan pelancaran jawatankuasa baru itu, Asean kini berada di landasan betul ke arah penubuhan ACSS menjelang 2015, satu komitmen yang dibuat pemimpin Asean pada Oktober 2010 menerusi Rangka Kerja Asean bagi Kerjasama dalam bidang Statistik 2010-2015.

Beliau berkata dalam dunia global ini, kerjasama serantau adalah penting bagi menggalakkan pertumbuhan serta kestabilan, dan maklumat berstatistik membantu perancangan serta penggubalan dasar dalam bidang yang penting seperti perdagangan dan pelaburan.

"Tidak syak lagi bahawa kapasiti serantau yang diperkukuh dalam statistik membantu mencapai objektif integrasi serantau," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain