BANGKOK: Masyarakat Islam Thailand menyambut Aidiladha pada Ahad ketika timbul kebimbangan bahawa banjir terburuk dalam lima dekad akan menuju ke bahagian tengah bandaraya ini.Seluruh penduduk di tiga lagi daerah di wilayah Bangkok - Chactuchak (Bangkok Utara), Nong Khaem dan Phasicharoen (Bangkok Barat) diarah berpindah memandangkan air banjir semakin naik. Sebelum ini, pemindahan besar-besaran seumpamanya dijalankan di ibu negara ini di daerah-daerah Don Mueang, Bang Phlad, Sai Mai, Thawi Wattana, Lak Si, Taling Chan, Bang Khen dan Bang Khae.Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra hari ini mengarahkan pemindahan penduduk di beberapa kawasan di daerah Min Buri dan Nong Chok di bahagian timur Bangkok.Pasar hujung minggu Chatuchak, paling popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong yang menempatkan 10,000 kedai dan menjana perolehan 10 bilion Baht (kira-kira RM1 bilion) setahun dibuka semula hari ini sekalipun kawasan-kawasan sekelilingnya masih banjir.Bilangan pelawat merosot teruk walaupun keretapi landasan bertingkat dan 'subway' terus beroperasi di kawasan itu.Limpahan air banjir semakin mendekati bahagian tengah Bangkok ketika kebanyakan daerah sekitarnya di bahagian utara, barat dan timur Bangkok diliputi banjir.Masyarakat Islam di wilayah-wilayah Nakhon Sawan dan Ayutthaya dapat melakukan korban haiwan sempena sambutan Aidiladha ekoran banjir yang surut, sementara di Bangkok aktiviti tersebut dilakukan di kawasan-kawasan tidak banjir.Kira-kira satu pertiga dari kawasan negara ini masih digenangi air, dengan lebih 3 juta penduduk di 25 wilayah di bahagian utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda negara ini sejak 25 Julai.Jumlah kematian meningkat ke 506 hari ini. BERNAMA