suria

Enam Kawasan Industri Masih Digenangi Air

BANGKOK: Hanya sebuah kawasan perindustrian di Thailand kini kering ketika banjir terburuk dalam lima dekad mulai reda, namun enam kawasan lain masih digenangi air banjir.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Chalitrat Chantarubeksa berkata hari ini 29 kilang di Kawasan Perindustrian di Ayutthaya telahpun menggerakkan semula operasi sementara baki 64 kilang di situ dijangka mengikuti langkah sama menjelang awal Januari tahun depan.

Sembilan puluh kilang pembuatan di Kawasan Perindustrian Bang Pa-in di Ayutthaya masih digenangi air sedalam 1.4 meter dan mereka dijangka memulihkan pengeluaran menjelang 16 Disember, katanya.

Hi-Tech Industrial Park, Rojjana Industrial Park dan Saha Rattanakorn Industrial Estate, semuanya di wilayah Ayutthaya dengan sejumlah 329 kilang masih digenangi air banjir antara 1 meter dan 1.5 meter.

Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDB), badan pemikir kerajaan, menganggarkan kos kerosakan terhadap lima kawasan perindustrian di Ayutthaya sebanyak 120 bilion Baht (kira-kira RM12 bilion) menjejas lebih 200,000 pekerja.

Kebanyakan kilang di sana milik pelabur Jepun membabitkan sektor automobil dan elektrikal serta elektronik.

Kira-kira 10 kilang Malaysia yang mengeluarkan komponen automobil dan produk elektrikal dan elektronik turut terjejas. Chalitrat berkata dua kawasan perindustrian di wilayah Phatom Thani - Navanakorn dan Bang Kradee - juga masih digenangi air.

NESDB menganggarkan sebelum ini kerugiaan di Navanakorn saja mungkin mencecah 100 bilion Baht (kira-kira RM10 bilion). Kawasan itu menempatkan 227 kilang dengan 180,000 pekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3,000 Polis Australia Adakan Protes

Artikel Lain