MELBOURNE: Amerika Syarikat (AS) berkata perundingan perdagangan dengan lapan rakan negara Pasifik telah melakar "kemajuan penting" di dalam pusingan terbaharu perundingan yang berakhir di California pada Selasa, demikian dilaporkan oleh Australian Associated Press (AAP).Pusingan ke-13 perundingan perdagangan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) bermaltamat mewujudkan satu perjanjian perdagangan yang meluas di rantau yang dinamik itu dan telah mencatatkan kemajuan terhadap 20 perkara yang dirundingkan, kata pegawai di pejabat Wakil Perdagangan AS Ron Kirk. Katanya kemajuan yang "signifikan yang khusus" dicatatkan bagi beberapa isu seperti kastam, perkhidmatan rentas sempadan, telekomunikasi dan pemerolehan kerajaan semasa rundingan dari 2-10 Julai di San Diego.TPP adalah keutamaan perdagangan bagi Presiden AS Barack Obama, yang menjangka perjanjian itu sebagai satu cara meningkatkan eksport AS dan pekerjaan sambil mengekalkan standard buruh dan ekosistem yang penting bagi asas politiknya, kata AAP.Perundingan itu dihadiri para wakil dari Australia, Brunei, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam yang dihoskan oleh AS.Pejabat Kirk berkata kemajuan dicatatkan juga mengenai isu tempasal, pelaburan, perkhidmatan kewangan, kemasukan sementara dan isu-isu berkaitan.Ia turut menonjolkan satu cadangan AS mengenai hak harta intelek yang berkaitan dengan had hak cipta dan pengecualiannya. Para perunding akan membawa pulang isu-isu yang dicapai kemajuan ke ibu negara masing-masing bagi disemak semula.Perundingan pusingan seterusnya dijadualkan pada 6-15 Sept di Leesburg, Virginia. - BERNAMA