suria

Tiada Perintah Berkurung Di Selatan Thailand

BANGKOK: Kerajaan Thailand tidak akan mengenakan perintah berkurung di wilayah selatan negara itu berikutan keganasan yang semakin memuncak kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Jen Yuthasak Sasiprapha berkata kerajaan sebaliknya akan memperketatkan keselamatan dan meningkat pemeriksaan di pintu masuk wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.

"Pihak berkuasa tidak mempertimbang untuk mengisytihar perintah berkurung bagi mengawal keadaan ketika ini. Kami tidak akan membiarkan keganasan berterusan," katanya.

Lebih 20 insiden keganasan berlaku di wilayah selatan sejak 20 Julai lalu dengan berlaku tembakan ke atas orang awam, renjer tentera dan sukarelawan pertahanan selain serangan bom yang dilaporkan berlaku hampir setiap hari.

Sembilan kematian didakwa berlaku dengan kecederaan ke atas lebih 20 orang yang lain.

Kejadian terbaru ialah serangan bom ke atas sebuah hotel di Pattani semalam yang memaksa kesemua penginapnya dipindahkan.

Ia merupakan kejadian kali ketiga yang berlaku di Hotel CS itu dalam tempoh empat tahun lalu, yang pertama kali berlaku pada tahun 2008 yang mengakibatkan dua kematian dan 13 kecederaan.

Namun tiada kecederaan atau kerosakan yang dilaporkan dalam serangan kedua pada tahun 2010 kerana bomnya tidak meletup.

Pemilik hotel Anusart Suwannamongkol berkata serangan semalam lebih teruk kerana kebanyakan bilik hotel terbakar.

"Kebanyakan bilik kami dari tingkat pertama hingga tingkat lapan rosak akibat kebakaran dari letupan itu," katanya.

Dalam insiden tersebut, sebuah bom kereta diletakkan berhampiran dapur hotel yang menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan.

Artikel Sebelum

Ribut Ernesto Ancam Barbados

Artikel Lain