SINGAPURA: Dua puluh enam belia dari 13 negara, termasuk Malaysia, berkumpul di Kuala Lumpur pada Selasa untuk menyertai program yang julung kali diadakan bagi membolehkan mereka meneroka dan membincangkan peranan masing-masing sebagai "pelaksana perubahan" dalam masyarakat.Program hasil inisiatif Rangkaian Pemimpin Muda (WYN) Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) ini, memberi fokus terhadap konsep kepimpinan mulia berkaitan pertumbuhan menyeluruh manusia yang merangkumi bidang pengurusan, keusahawanan, kelestarian, usaha sosial, kehidupan bermasyarakat dan sifat dermawan. "Bagi saya, kepimpinan bererti mengenal pasti keinginan manusia dan menggembleng semangat mereka ke arah mencapai matlamat bersama."Program ini bertujuan memberi ilham, mencabar dan memperkasa mentaliti kepimpinan para peserta, menyemai semangat untuk bekerja secara berpasukan dan berkongsi idea dengan satu rangkaian meluas ke arah mencapai matlamat dan impian bersama," kata ketua dan pengarah eksekutif WYN Fazil Irwan Som dalam kenyataan di sini Selasa.WIEF memberi tumpuan utama terhadap dua kelompok paling penting dalam masyarakat wanita dan belia dari dunia Islam - untuk dipupuk secara maksimum potensi mereka melalui latihan, pendidikan dan kegiatan perniagaan.Program Anak Muda WIEF ini mempertemukan para belia untuk membolehkan mereka bertukar-tukar idea kreatif serta meneroka kerjasama dalam projek perniagaan dan sosial.Program enam hari itu, yang bermula Isnin, dirangka khusus untuk para pemimpin baru muncul bagi membolehkan mereka menilai diri sendiri secara menyeluruh sebagai pesiapan menghadapi ekonomi global masa kini yang amat tinggi daya saingnya, di samping membolehkan mereka menjalin hubungan dengan ekonomi global. - BERNAMA