suria

Air Kerala Tidak Berdaya Maju - Pakar

COCHIN: Walau pun ia projek impian kerajaan negeri Kerala (di India), usaha untuk mewujudkan satu operasi syarikat penerbangan dari peringkat perancangan tidak berdaya maju pada persekitaran harga bahan bakar yang tinggi sekarang ini, kata seorang pakar industri pengembaraan.

Sebaliknya, kerajaan negeri itu perlu memilih membeli kepentingan kawalan di dalam salah satu syarikat penerbangan sedia ada di negara itu dan memastikan keperluan penerbangan Kerana dilaksanakan, kata Pengerusi dan Pengarah Urusan Airtravel Enterprises India Ltd E.M Najeeb.

"Ini adalah projek impian negeri itu tetapi ia tidak mudah melancarkan satu syarikat penerbangan dan memastikannya berjaya kerana ada faktor yang kita tidak dapat kawal seperti harga bahan bakar," katanya kepada Bernama di luar jadual persidangan Emerging Kerala 2012 di sini, Khamis.

Kerajaan negeri Kerala telah meminta Cochin International Airport Ltd (CIAL) yang pertama mendapat pembiayaan awam-swasta untuk menyediakan laporan kesesuaian.

Menurut laporan berita, syarikat penerbangan itu akan ditubuhkan sebagai satu usaha kerajaan negeri dan CIAL, dengan saham dari orang ramai, terutama sekali dari bukan penduduk Kerala.

Selain kos operasi, ia juga sukar memuaskan hati masyarakat Malayalee yang berjimat cermat, kata Najeeb. Beliau juga Presiden Dewan Perniagaan Trivandrum dan Persekutuan Industri Pelancongan Kerala.

"Masyarakat Malayalee mempunyai jangkaan yang tinggi pada harga ynag murah. Jadi, berikutan dengan kos bahan bakar dan kendalian darat yang tinggi, syarikat penerbangan itu akan berhadapan masalah kewangan dan tidak baik bagi ekonomi negeri itu," katanya.

Satu faktor lagi ialah, satu-satu syarikat penerbangan di India perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam operasi domestik sebelum mendapat kelulusan Kementerian Penerbangan Awam untuk mengoperasi penerbanganh antarabangsa.

"Satu lagi halangan ialah Air Kerala berharap bilangan yang besar rakyat Kerala yang bekerja di Teluk untuk menjadi penumpang pesawat berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain