HARARE: Sejumlah 7,000 rakyat Malaysia mengunjungi Zimbabwe dalam suku ketiga tahun ini, satu peningkatan drastik daripada hanya 1,300 ketibaan yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas, kata seorang pegawai Zimbabwe.Ketua Eksekutif Zimbabwe Tourism Authority (ZTA) Karikoga Kaseke berkata Malaysia muncul sebagai negara dengan jumlah pengunjung paling ramai dalam kalangan negara Asean. Bercakap kepada pemberita pada Pameran Pengembaraan dan Pelancongan Dunia Afrika Sanganai/Hlanganani kali kelima di sini, beliau berkata ZTA merancang untuk menjadi penggerak utama dalam pasaran itu dan berusaha menarik lebih ramai pelancong dari negara lain di Asia Tenggara.Beliau berkata China kekal sebagai pasaran utama dengan mencatatkan ketibaan 30,000 pelancong tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 50,000 menjelang 2015."Dengan kemampuan berbelanja US$2,300 sehari setiap orang, pasaran China menjanjikan pulangan lumayan kepada industri pelancongan Zimbabwe," kata Kaseke, dan menambah pasaran berpotensi yang lain adalah Jepun dan Korea Selatan. - BERNAMA