TOKYO: Syarikat penerbangan terbesar Jepun -ANA Holdings mengumumkan yang mereka akan membeli kepentingan AirAsia Bhd dalam syarikat kerjasama antara kedua-dua syarikat penerbangan itu bagi membolehkannya diurus sebagai sebuah anak syarikat.Kerjasama bagi menguruskan penerbangan tambang murah di antara Penerbangan ANA dengan AirAsia baru sahaja berusia dua tahun dan berpusat di Narita. Bagaimanapun ANA melihat kerjasama itu gagal mencuri perhatian para pelanggan Jepun sejak ia dibentuk pada Ogos 2011.ANA meletakkan kegagalan itu di bahu program pemasaran yang tidak efektif dan juga penggunaan tempahan di dalam talian yang tidak mesra pelanggan.AirAsia pula pada awal bulan ini meletakkan kegagalan kerjasama itu atas faktor tiadanya persefahaman dalam soal bagaimana hendak menguruskan operasi bisnes mereka.AirAsia Japan mencatatkan kerugian sejak ia memulakan operasi ke lima destinasi lokal dan dua destinasi Korea.Menurut Naib Presiden Kanan ANA Shinzo Shimizu, kerjasama itu telah meragut keuntungan syarikat berkenaan sehingga kepada RM115.23 juta.ANA tidak pula mengumumkan berapakah yang akan mereka keluarkan untuk membeli kepentingan AirAsia dalam syarikat kerjasama tersebut. Shimizu bagaimanapun berkata, ANA akan membuat keputusan pada Julai untuk memberi nama baru kepada syarikat yang akan dibeli dari AirAsia itu nanti.