BEIJING: Kerajaan China mengesahkan bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan 153 warganya yang menaiki pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan. Duta Besarnya ke Malaysia, Huang Huikang berkata, pemeriksaan teliti ke atas latarbelakang kesemua warganya yang menjadi penumpang pesawat itu menunjukkan yang mereka bersih daripada sebarang unsur negatif yang boleh disabitkan dengan rampasan atau pun mana-mana kumpulan pengganas. Pesawat MH370 itu kini disyaki menjadi mangsa rampasan kerana ia telah secara sengaja melencong dari laluan asalnya iaitu ke bandar ini 11 hari yang lalu. Agensi berita rasmi China, Xinhua memetik Huang sebagai berkata yang siasatan ke atas punca kehilangan pesawat itu harus tertumpu kepada soal perbuatan jenayah. Huang juga dipetik sebagai berkata yang kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik yang mampu mereka lakukan walaupun mereka tidak berpengalaman dalam menangani isu sebesar ini. Pesawat Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu hilang pada 8 Mac lalu dengan membawa 239 penumpang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Dua puluh enam buah negara kini terlibat dalam usaha untuk mencari pesawat itu semula yang disyaki sama ada menuju ke arah barat daya atau ke selatan lautan India sehingga ke Australia. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei berkata, mereka sendiri telah menghantar 10 buah kapal untuk mencari pesawat tersebut termasuk mengerahkan beberapa pesawat peninjau dan juga menumpukan 21 satelit milik mereka ke arah kawasan yang disyaki menjadi laluan MH370 itu. Katanya atas permintaan Kerajaan Malaysia, China telah memberikan tumpuan mencari di kawasan koridor utara di dalam wilayahnya. Tumpuan penyiasatan juga terarah kepada Kapten MH370, Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya Fariq Abdul Hamid kerana persoalan utama yang ditimbulkan sekarang ialah siapakah yang mengawal pesawat itu ketika ia keluar dari laluan asalnya.