KETEGANGAN di Crimea memasuki fasa baharu apabila seorang tentera Ukraine ditemui mati dipercayai ditembak oleh tentera Rusia. Pegawai Ukraine itu ditemui mati ditembak di bahagian leher berhampiran pangkalan tentera negara tersebut di Simferopol. Seorang sukarelawan tempatan yang telah ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan turut dibunuh dengan ditembak di leher. Insiden itu didakwa telah dilakukan oleh kumpulan tentera Rusia yang turut dikatakan telah telah menjadikan seorang komander Ukraine sebagai benteng manusia bagi memasuki kem berkenaan. Perdana Menteri Baharu Ukraine, Arseniy Yatsenyuk berkata, serangan itu bermakna krisis berkenaan telah memasuki fasa kententeraan daripada fasa politik sebelum ini. "Jenayah perang ini berlaku tanpa sebarang batasan," tambahnya. Kematian pertama anggota tentera Ukraine berlaku pada bulan lepas dan ia juga dipercayai dilakukan oleh tentera Rusia. Sehubungan itu, Yatsenyuk kini membenarkan tentera menggunakan senjata bagi melindungi negara dan nyawa masing-masing.