suria

Presiden Putin Beri Jaminan Tak Akan Takluk Negara Lain Tapi Negara Yang Bersempadan Dengannya Tetap Bimbang

Negara-negara Baltik yang bersempadan dengan Rusia dan Ukraine
VILNIUS (Lithuania): Selepas menerima secara rasmi hasrat semenanjung Crimea yang berpisah dengan Ukraine untuk menyertai Rusia, Presiden Vladimir Putin menegaskan yang negaranya tidak berhasrat atau mempunyai sebarang niat untuk menakluk wilayah Ukraine yang lain mahupun negara-negara yang bersempadan dengannya.

Namun negara-negara lain yang bersempadan dengan Rusia tidak begitu yakin dengan jaminan tersebut dan mereka kini bergantung harapan kepada Amerika Syarikat untuk muncul dengan jalan penyelesaian atau pelan tindakan kedua jika negara mereka juga benar-benar mengalami nasib sepertimana Crimea.

Naib Presiden Amerika, Joe Biden kini sedang dalam rangka lawatan ke negara-negara Baltik seperti Lithuania, Latvia dan Estonia pada Rabu untuk duduk berbincang dengan pemimpin-pemimpin negara ini yang sepertimana Ukraine, juga bersempadan dengan Rusia.

Selepas 10 tahun berasa selamat berada di bawah Nato, kini Lithuania dan Latvia tiba-tiba berasa tidak lagi selamat ekoran apa yang terjadi di Crimea.

Mereka sepertimana Ukraine adalah bekas negara-negara di bawah empayar Kesatuan Soviet yang didominasi oleh Rusia.

Tetapi tidak sepertimana Ukraine, Latvia, Lithuania dan Estonia adalah anggota Nato dan sebagai sebahagian daripada pakatan Nato, Amerika Syarikat akan bertindak responsif terhadap sebarang ancaman daripada bukan negara anggota ke atas negara anggota.

Ini memberi sedikit kelebihan kepada negara-negara Baltik tersebut berbanding Ukraine yang tidak terikat dengan perjanjian pertahanan dengan Nato.

Sebuah lagi negara bekas Kesatuan Soviet iaitu Poland, turut menyatakan rasa bimbang yang mereka juga akan menerima nasib yang sama sepertimana Crimea kerana bersempadan dengan Rusia.

Seluruh Eropah kini dalam kepanasan ekoran tindakan Moscow untuk menerima Crimea sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Crimea yang merupakan wilayah autonomi Ukraine telah mengundi untuk bercantum dengan Rusia menerusi satu referendum yang dijalankan Ahad lepas. Lebih 97% penduduk yang mengundi telah memutuskan untuk keluar dari Ukraine dan kembali kepada Rusia.

Majoriti penduduk Crimea terdiri daripada etnik Rusia manakala selebihnya etnik Ukraine dan Tartar yang beragama Islam.

Politik di Crimea bergolak selepas kerajaan pusat Ukraine yang pro-Moscow diguling dalam protes jalanan oleh kumpulan yang pro-barat pada 22 Februari lalu.

Seminggu selepas itu, beribu-ribu kumpulan militia yang berpakaian seragam tentera tanpa lencana telah mengambil alih pentadbiran di semenanjung Crimea yang mengadap Laut Hitam.

Rusia menafikan sekeras-kerasnya kumpulan militia itu adalah pasukan elit komando mereka tetapi kumpulan militia berkata mereka bertindak untuk melindungi etnik Rusia daripada menjadi mangsa opresi kumpulan berhaluan kanan yang telah mengambil alih pentadbiran pusat di Kiev, ibu negara Ukraine.

Kumpulan militia itu terlalu besar sehinggakan tentera Ukraine tidak mampu berbuat apa-apa dan sekadar menyaksikan dari jauh mereka mengambil alih bangunan parlimen, pejabat-pejabat kerajaan, lapangan terbang dan juga berek-berek tentera serta pangkalan tentera laut.

Dari segi sejarahnya, Crimea adalah milik Rusia tetapi telah dihadiahkan kepada Ukraine sebagai mengenang keputusan Ukraine untuk menjadi sebahagian daripada empayar Kesatuan Soviet pada 1954.

Pada tahun 1991, apabila soviet sebagai sebuah kesatuan berpecah, Ukraine telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka.

Namun Rusia masih mengekalkan satu angkatan laut yang besar di Crimea untuk mengawasi Laut Hitam yang strategik dan kaya dengan hasil minyak dan gas itu.

Sementara itu Joe Biden telah memberi jaminan yang Amerika tidak akan membenarkan sebarang tindakan penaklukan baru oleh Rusia dalam pertemuannya dengan Presiden Lithuania, Dalia Grybauskaite, Presiden Latvia, Andris Berzins, Presiden Estonia, Toomas Hendrik Ilves dan Presiden serta Perdana Menteri Poland.

Sebagai langkah berjaga-jaga Nato akan mengadakan latihan ketenteraan di Poland, kata Biden.

Dan atas permintaan Poland juga, Amerika telah menghantar 12 buah pesawat pejuang F-16 dan satu ketumbukan tentera ke Warsaw sebagai langkah berjaga-jaga.

Amerika juga kata Biden akan menimbang untuk menghantar ketumbukan tentera yang lebih besar ke wilayah Baltik sebagai memperkukuhkan pertahanan anggota-anggota Nato.

Sementara itu, Kerajaan British telah mengumumkan yang mereka akan membekukan segala bentuk kerjasama ketenteraan dengan Rusia ekoran campur tangan negara itu dalama krisis dalaman Ukraine dan Crimea.

Dengan Crimea sekarang di bawah penguasaan Rusia sepenuhnya, para pemimpin Eropah dan Amerika kini bersetuju untuk menghantar bantuan segera ke Ukraine untuk mengelak pencerobohan yang lebih besar khusus di wilayah Timur yang dipenuhi dengan etnik Rusia kerana Putin mungkin akan menggunakan itu sebagai alasan untuk terus menakluk wilayah Ukraine yang lain.

Joe Biden, Baltic, Rusia, Crimea, Poland

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain