GENEVA: Konflik politik dan perang saudara di Syria telah mendesak satu keluarga menjadi pelarian untuk setiap seminit di negara itu sekaligus mencatatkan angka pelariannya sebagai di kalangan lima negara yang terbesar di dunia buat masa ini. Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Pemantauan Orang Pelarian Dalaman (IDMC) mendapati, 33.3 juta orang kini menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri tahun lalu akibat perang saudara yang berlanjutan dan tiada kesudahan. Dan dua pertiga daripada angka tersebut datangnya dari Syria, Colombia, Nigeria, Republik Congo dan Sudan. Orang Pelarian Dalaman adalah mereka yang lari meninggalkan kediaman asal masing-masing tetapi tidak meninggalkan negara mereka manakala mereka yang lari meninggalkan negara sendiri dilabel sebagai 'pelarian'. Daripada jumlah 33.3 juta orang kini bertaraf Orang Pelarian Dalaman di seluruh dunia, 8.2 juta adalah angka baru dan separuh daripadanya adalah dari Syria. Dengan jumlah Orang Pelarian Dalam mencapai angka 9,500 orang sehari - adalah dianggarkan satu keluarga melarikan diri dari kediaman asal mereka untuk setiap 60 saat - di Syria sahaja. "Laporam IDMC mendedahkan satu situasi yang menakutkan yang kini merupakan satu realiti kehidupan di Syria, iaitu negara dengan Orang Pelarian Dalaman paling besar di dunia sekarang," kata bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Jan Egeland, yang kini mengetuai Majlis Pelarian Norwegian yang mana IMDC adalah sebahagian daripada unit majlis tersebut. Laporan itu juga menyebut 3.3 juta warga Nigeria turut menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri sebahagian besarnya berpunca daripada kebangkitan kumpulan Boko Haram. IDMC menyebut peningkatan jumlah Orang Pelarian Dalaman di seluruh dunia membuktikan bahawa dunia tiada jawapan kepada cara untuk mengatasi konflik ini yang akhirnya akan menjadi satu bebanan besar yang tidak tertanggung.