BANGKOK: Pilihan raya umum Thailand besar kemungkinan akan ditunda berikutan tindakan penunjuk perasaan antikerajaan yang terus menentang rancangan itu dan dua orang terbunuh dalam serangan di tempat tunjuk perasaan diadakan. Walaupun pilihan raya itu ditetapkan pada 20 Julai, dekri diraja belum dikeluarkan untuk membolehkannya diadakan dan berikutan keganasan yang memuncak kebelakangan ini, ia mungkin ditunda. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wakil kerajaan sementara sepatutnya bermesyuarat di Akademi Tentera Udara Diraja Thailand pada Khamis pagi untuk membincangkan perkara berkaitan pilihan raya, tetapi tidak dapat berbuat demikian apabila penunjuk perasaan memasuki akademi itu. Setiausaha Agung SPR, Phuchong memberitahu pemberita bahawa mesyuarat hari ini terpaksa ditunda kerana penunjuk perasaan memasuki akademi itu dan berkumpul hanya 50 meter dari dewan mesyuarat. Pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Rakyat Suthep Thaugsuban, yang mengetuai penyokongnya ke akademi itu pada Khamis pagi, memasuki dewan mesyuarat berkenaan. Bagaimanapun, mereka mendapati tiada anggota SPR dan wakil kerajaan sementara yang hadir kerana bimbang akan keselamatan diri mereka akibat bantahan yang diadakan. Penunjuk perasaan makan tengah hari di hadapan dewan mesyuarat itu sebelum kembali ke tempat perhimpunan mereka di Ratchadumnoen Avenue. Sementara itu, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan Pentadbiran Metropolitan Bangkok, dua orang terbunuh dan 21 cedera apabila dua butir bom tangan dilontar kepada penunjuk perasaan antikerajaan yang berhimpun berhampiran Tugu Demokrasi pada kira-kira 2.45 pagi. Mereka yang meninggal dunia di hospital itu dikenali sebagai Narayos Chanpet, 21, dan Somkuan Nuankhanai , 51. Sejak 30 Nov, 24 orang terbunuh dan 783 cedera di Bangkok, manakala tiga terbunuh dan 43 cedera di wilayah lain. Penyelesaian terhadap konflik politik Thailand mengalami kebuntuan apabila penunjuk perasaan antikerajaan terus mendesak agar perubahan dilakukan dan kerajaan sementara sekarang disingkirkan kerana ia dianggap masih dipengaruhi Thaksin Shinawatra, walaupun adiknya, bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra telah disingkirkan. Sementara itu, parti pemerintah, Pheu Thai Party, mahu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin dan yakin akan memenanginya.