BANGKOK: Ketua Tentera Thailand Jeneral Prayuth Chan mengumumkan rampasan kuasa di negara ini pada Khamis berikutan kegagalan pihak yang terlibat dalam sengketa politik mencapai persetujuan setelah bermesyuarat selama dua hari. Pemimpin kumpulan penyokong dan penentang kerajaan ditangkap. Sebelum ini, Tentera Thailand mengumumkan Undang-Undang Tentera dilaksanakan di negara itu ekoran pergolakan politik tanpa kesudahan yang berlarutan selama enam bulan. Ketua Tentera Thailand itu beri jaminan rampasan kuasa tidak menjejaskan hubungan antarabangsa dalam satu pengumuman media ke seluruh negara itu. “Dalam usaha untuk mengembalikan keamanan Jawatankuasa Keamanan Nasional terdiri daripada tentera, Angkatan Tentera Thai, Tentera Udara Diraja dan polis perlu merampas kuasa pada 22 Mei pada jam 4.30 petang,” katanya. Tindakan rampasan kuasa ini adalah yang ke-12 dalam sejarah Thailand sejak 1932. "Semua rakyat Thailand perlu bertenang dan pegawai-pegawai kerajaan perlu bekerjasama seperti biasa, " katanya.