KABUL: Presiden Afghanistan Hamid Karzai yang akan tamat tempoh perkhidmatannya tidak lama lagi memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa yang negaranya tidak akan menjadi sepertimana Iraq yang kini dilanda anarki dan keganasan ekoran kemunculan puak pemberontak Suni yang menentang kerajaan Syiah secara besar-besaran. Beliau berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan antarabangsa yang Afghanistan juga akan menerima nasib yang sama sepertimana Iraq sebaik sahaja Amerika Syarikat menarik keluar pasukan keselamatannya Disember nanti secara berperingkat selepas 13 tahun menerajui pasukan keselamatan antarabangsa selepas regim Taliban tumbang. "Jangan bimbang...kami tidak akan menjadi sepertimana Iraq sama sekali," kata Hamid Karzai dalam satu temuramah dengan stesen televisyen BBC. Hamid Karzai menegaskan yang pengaruh Al-Qaeda tidak lagi sekuat mana di bumi Afghanistan. Hamid yang memerintah sejak 2001 akan melepaskan jawatannya dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas pilihan raya presiden pusingan kedua selesai. Presiden Afghanistan itu turut menegaskan, majoriti puak-puak yang bertentangan di negaranya mahukan keamanan dan ingin menamatkan konflik serta persengketaan. Washington telah pun menyatakan yang mereka hanya akan menempatkan 10,000 anggota di Afghanistan selepas hujung tahun ini dan akan menamatkan perkhidmatan mereka sepenuhnya menjelang 2016.