KANO, Nigeria: Kira-kira seramai 21 orang maut dalam satu letupan bom di utara Nigeria ketika asyik menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia pada pukul 8.15 malam waktu tempatan kelmarin. Sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab di atas kejadian tersebut yang berlaku di Nayi-Nama, yang terletak dalam daerah Damaturu. Bagaimanapun pihak berkuasa Nigeria mengesyaki ia dilakukan kumpulan militan Boko Haram. Kumpulan itu sebelum ini pernah menyerang lokasi skrin besar tempat orang ramai menonton perlawanan Piala Dunia. Seorang saksi berkata bom yang meletup itu dipercayai disorokkan dalam sebuah beca bermotor tidak jauh dari tempat orang ramai sedang menonton perlawanan antara Brazil dan Mexico.