BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki memecat beberapa komander kanan pasukan keselamatan dan menjalin kerjasama dengan beberapa musuh politik utamanya, bagi menghadapi kemaraan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis). Antara yang dipecat termasuk komander wilayah Nineveh, wilayah pertama yang ditawan Isis. Nuri juga mengarahkan seorang pegawai keselamatan dihadapkan ke mahkamah tentera atas tuduhan khianat. Pemecatan itu dilakukan selepas 30,000 anggota keselamatan melarikan diri ketika berdepan 800 pejuang tentera Isis yang menawan wilayah Nineveh dan bandar kedua terbesar di negara itu, Mosul. Ada di antara mereka yang meninggalkan kenderaan tentera dan menanggalkan pakaian seragam bagi mengelakkan ditangkap pejuang Isis dan kumpulan yang masih setia kepada bekas Presiden Saddam Hussein. Dalam perkembangan terbaharu, kumpulan Isis bersenjata Sunni mengepung dan melancarkan serangan bom ke kilang penapisan minyak terbesar Iraq yang secara tidak langsung mengancam bekalan domestik negara itu. Kejadian yang berlaku pada Selasa dalam serangan kumpulan berkenaan di utara Baghdad selepas menawan sebahagian wilayah di utara Iraq. Isis memulakan serangan menawan kilang penapisan minyak di Beiji yang terletak 250 kilometer di utara Baghdad, lewat malam Selasa. Hasil minyak yang ditapis di kilang itu untuk kegunaan domestik seperti minyak tanah, minyak masak dan petrol untuk stesen jana kuasa. Sebarang gangguan akan menyebabkan bekalan gas dan elektrik terputus, sekali gus akan memburukkan lagi keadaan di Iraq. Sementara itu, jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Qassim al-Moussawi mendakwa tentera negara itu dibantu penduduk tempatan berjaya mengusir pejuang Isis di bandar Tal Afar yang ditawan kumpulan itu, Isnin lalu. Selain itu, seorang pegawai kanan polis memberitahu, Isis meluaskan penguasaan ke kawasan penempatan Syiah di Turkmen, Basyir yang terletak di wilayah Kirkuk.