JAKARTA: Pusat pelacuran terbesar Indonesia, Dolly, yang terletak di Surabaya, Jawa Timur ditutup buat selama-lamanya pada Rabu malam (18 Jun). Penutupan Dolly disusuli dengan perhimpunan di bangunan Pusat Islam di Surabaya dan dihadiri Menteri Sosial, Salim Segaf Al Jufri; Gabenor Jawa Timur, Soekarwo; Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini, anggota majlis perundangan wilayah, ulama, pelacur dan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Dolly. "Apa yang perlu dikekalkan adalah sesuatu yang positif. Jika tidak positif, maka tidak perlu untuk mengekalkannya," Salim dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Antara semasa perhimpunan pada Rabu. Beliau memuji pihak berkuasa berkaitan yang bersedia menutup kawasan Dolly yang bukan sahaja sebagai pusat pelacuran terbesar di Indonesia tetapi juga di rantau Asia Tenggara. "Kami telah berusaha keras sejak dua hingga tiga tahun lepas bagi menangani isu ini," kata Salim. Perhimpunan pada Rabu juga disusuli dengan perisytiharan oleh masyarakat tempatan yang berikrar untuk menjadikan kawasan itu bebas daripada pelacuran. Perisytiharan itu dibuat secara hitam putih dan ditandatangani wakil-wakil penduduk tempatan. Sementara itu, Soekarwo menghargai keputusan untuk menutup kawasan Dolly. "Ini berupa usaha kemanusiaan. Apabila datuk bandar Surabaya Risma mencadangkan untuk menutup Dolly, Saya meluluskan cadangannya," kata Soekarwo. Ketika ditanya tentang rancangan untuk menghantar pulang bekas pelacur Dolly ke kampung masing-masing, Soekarwo berkata pihak berkuasa tempatan menyediakan pembiayaan bgi rancangan itu. Ekoran penutupan kawasan Dolly, pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Sosial dan kerajaan wilayah Jawa Timur memberi pampasan berjumlah 1.5 bilion Rupiah kepada pelacur Dolly dan penduduk yang terlibat dengan keputusan itu.