KETIKA skuad Nigeria berhempulas-pulas bagi melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik saingan Piala Dunia di Brazil, ibu negaranya, Abuja dikejutkan dengan kejadian pengeboman yang mengorbankan 21 orang awam. Dalam insiden di pusat beli-belah terkenal, Plaza Banex ketika waktu kemuncak itu, seramai 52 orang parah akibat letupan berkenaan. Polis telah berjaya menahan suspek yang dipercayai telibat. Bagaimanapun tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukannya. Kumpulan militan Boko Haram sebelum ini menjadikan Plaza Banex sebagai sasaran dalam siri pengebomannya. Doktor dan jururawat yang bertugas menceritakan mereka telah menerima ramai mangsa yang mengalami kecederaan serius seperti terbakar di muka selain luka di seluruh badan. "Terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang berdarah di dahi menangis teresak-esak mencari ibunya. "Kami tidak menemui ibunya dan tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu hidup atau mati," jelas jururawat terbabit.