suria

4 Budak Lelaki Palestin Terkorban, Bayi 3 Hari Terselamat

Kematian empat bersaudara yang terkorban dalam serangan tentera Israel diratapi ahli keluarga mereka di Rumah Mayat Hospital al-Shifa hospital, Gaza City pada Rabu.
GAZA: Empat kanak-kanak lelaki Palestin menjadi mangsa korban terbaharu dalam serangan tentera Israel di kawasan pantai wilayah itu, Rabu.


Mereka dikatakan mempunyai pertalian keluarga itu terkorban dalam serangan yang turut mencederakan seorang lagi remaja, kata saksi kejadian, Ashraf al-Qidra dari Kementerian Kesihatan Gaza.

Dalam insiden itu, serangan tentera Israel yang menaiki bot di perairan Mediterranean di wilayah itu membunuh dua budak lelaki berusia 10 tahun, manakala dua lagi masing-masing sembilan dan 11 tahun.

Pada masa sama, militan Palestin melancarkan lebih 130 roket ke arah tentera Zionis itu pada hari ke sembilan pertempuran yang hingga kini mengakibatkan 216 nyawa terkorban, termasuk enam dalam serangan udara.

Majoriti yang terkorban dan cedera dalam kalangan orang awam kata pasukan petugas kesihatan di Gaza, manakala di Israel pula, seorang penduduknya terbunuh akibat terkena bedilan satu daripada lebih 1,000 roket yang dilancarkan.

Serangan yang hingga kini tiada penghujungnya itu, Israel dikatakan sedang berusaha untuk memperluaskan skop dengan menyasarkan militan Hamas menerusi laluan darat apabila kira-kira 30,000 anggota tentera simpanan dikerah terbabit dalam misi ini.

"Arahan ketika ini adalah untuk melancarkan serangan udara dan jika perlu disusuli dengan serangan pasukan darat menggunakan pendekatan taktikal," kata pegawai Israel sehari selepas mesyuarat keselamatan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Netanyahu memberitahu pihaknya akan terus menjalankan kempen serangan sehingga mencapai matlamat.

Bagaimanapun, tempoh gencatan senjata selama lima jam atas dasar perikemanusiaan dipersetujui untuk memberi ruang kepada penduduk Palestin membeli keperluan makanan dan mendapatkan rawatan kesihatan.

Sementara itu, bayi perempuan berusia tiga hari dan ibunya, Nada terselamat dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah keluarga mereka di Genting Gaza.




Nada yang baharu melahirkan Nour hanya cedera dan bayinya dilaporkan stabil.

“Syukur kepada Allah Swt, saya tidak kehilangan Nour. Saya tidak boleh bayangkan hidup tanpa bayi pertama kami kerana kelahiran ini amat dinantikan sejak sekian lama,” katanya.

Sumainya, Hayel Issa berkata, pada mulanya tidak percaya bahawa bayi dan isterinya masih hidup selepas melihat keadaan mereka yang berlumuran darah di bawah runtuhan.

“Saya tidak menyangka bayi ini tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya sangka mereka akan meninggal dunia kerana bedilan itu sangat kuat,” katanya.

 

Palestin, Nour, Gaza

Artikel Berikut

Artikel Lain