suria

Konflik Tak Jejas Muslim Crimea Sambut Ramadan

Ayder ketika menyampaikan kutbah untuk menenangkan umat Islam Crimea yang menyambut Ramadan secara sederhana berikutan konflik politik yang melanda wilayah itu.
PERUBAHAN iklim politik di Crimea tidak menjejaskan sambutan Ramadan di kalangan penganut Islam yang menjadi minoriti di bekas negara Ukraine itu.


Timbalan Mufti Crimea, Ayder Ismailov berkata, semua masjid di semenanjung itu akan dibuka berterusan.

Namun Ayder mengakui mungkin akan ada masalah pengagihan bekalan makanan atau bantuan untuk golongan yang memerlukan.

“Keadaan itu berlaku kerana situasi institusi kewangan Crimea belum stabil serta wang sumbangan tidak masuk ke tabung seperti tahun sebelum ini,” katanya.

Menurut Ayder, sebelum ini ramai umat Islam dari luar datang ke wilayah itu untuk meraikan Ramadan bersama, namun konflik di antara Crimea dan Ukraine baru-baru ini memberi kesan kepada kehidupan seharian penduduk di situ.

Sementara itu, Ayder berkata, mereka menjangkakan kedatangan tenaga pengajar dari Turki tahun ini.

“Kami menanti kedatangan empat tenaga pengajar dari Turki dan semua dokumen yang diperlukan sudah disiapkan, tetapi saya tidak pasti sama ada mereka akan tiba atau tidak.

“Biasanya kami menerima kedatangan antara lima hingga 10 ulama dari Turki yang membantu meningkatkan kefahaman Islam di kalangan penganut Islam di sini,” katanya.

Ketika ini, kata Ayder, ada 22 tenaga pengajar bertugas mendidik penganut Islam di Crimea.

Crimea, Ukraine, Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain