suria

Obama Buat Panggilan Antarabangsa Sebagai Tindak Balas 'Pancung Kepala'

BAGHDAD: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Rabu membuat panggilan antarabangsa untuk bertindak terhadap pejuang jihad di Iraq dan Syria yang memancung kepala seorang lagi wartawan Amerika, ketika Britain dan Perancis mempertimbangkan tindakan ketenteraan.

"Kita tahu bahawa jika kita disertai oleh masyarakat antarabangsa, kita boleh terus mengecilkan pengaruh, keberkesanan, pembiayaan dan keupayaan ketenteraan Isil" kata Obama, merujuk kepada Kumpulan militan Negara Islam  (Isil).

"Dan persoalan itu akan memastikan kita mempunyai strategi yang betul, tetapi juga memastikan bahawa kita mempunyai kehendak antarabangsa untuk melakukannya," katanya di ibu negara Estonia, Tallinn.

Britain, yang mana seorang daripada rakyatnya juga berada di bawah ancaman dipancung kepala, berkata tidak akan menolak kemungkinan mengambil bahagian dalam serangan udara jika perlu.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan melihat setiap pilihan yang mungkin untuk melindungi individu tersebut," kata Setiausaha Luar Philip Hammond.

Presiden Perancis Francois Hollande juga membangkitkan kemungkinan melancarkan tindak balas ketenteraan kepada ancaman Isil.

"Ketua negara menggariskan betapa pentingnya tindak balas politik, kemanusiaan dan jika perlu tindakan ketenteraan mengikut undang-undang antarabangsa untuk memerangi Isil," katanya.

Obama berjanji bahawa keadilan akan ditegakkan untuk wartawan berusia 31 tahun Steven Sotloff, tidak kira di mana pembunuhnya bersembunyi dan selama mana ia mengambil masa.

Obama akan mengetuai sesi Majlis Keselamatan PBB mengenai ancaman pejuang asing di Iraq dan Syria pada 25 September, kata seorang pegawai Amerika Syarikat, Khamis.

Setiausaha Negara John Kerry mendedahkan dia sedang berusaha menjalinkan perikatan global untuk melawan kekejaman  keganasan militan 'zaman pertengahan'.

Isil pada Selasa menunjukkan rakaman video kepala Sotloff dipancung, disahkan sebagai sahih oleh Washington dan mencetuskan kemarahan di seluruh dunia.

Pembunuhan wartawan itu adalah sebagai membalas dendam untuk serangan udara AS terhadap pejuang di Iraq pada minggu lalu.

Ia juga memberi amaran bahawa tebusan British akan menjadi mangsa seterusnya melainkan London menarik balik sokongan terhadap kempen udara Washington.
Isil, Obama, Iraq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

11 Maut Akibat Tanah Runtuh

Artikel Lain