WASHINGTON: Sekurang-kurangnya dua orang dikhuatiri maut apabila sebuah pesawat peribadi yang dalam perjalanan dari New York ke Florida terhempas di pesisir pantai Jamaica. Menurut laporan, juruterbang pesawat dengan tujuh tempat duduk itu dilaporkan mengabaikan panggilan daripada pusat kawalan udara kerana dipercayai tidak sedarkan diri di dalam kokpit. Kerajaan Cuba memberi kebenaran kepada pesawat tentera AS jenis C-130 dan dua pesawat juang, F-15 untuk terbang di ruang udaranya bagi menjejaki dan menyiasat punca nahas. "Pada waktu pesawat terbang dan tidak memberikan sebarang respon, kami berhubung dengan pihak berkuasa Amerika mengenai langkah yang perlu dilakukan," kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Havana. Menurut kenyataan itu, sebaik saja pesawat dikesan oleh radar negera Cuba, semua langkah kawalan sistem pengawasan termasuk pencarian aeronautik dan menyelamat di laut ditingkatkan. Pegawai AS berkata, mereka belum pasti jumlah sebenar penumpang yang menaiki pesawat jenis Socata TBM-700 itu. Agensi berita NBC News memetik seorang pegawai AS sebagai berkata, juruterbang dilihat tidak sedarkan diri dan terjatuh di dalam kokpit.