suria

5 Tahun Kumpul Dana Di Malaysia Untuk Ke Mekah

Muhammad Nahil gembira dapat membawa ibunya menunaikan haji tahun ini.
MAKASAR: Selepas bertungkus lumus dan berjimat cermat selama lima tahun, tiada saat yang lebih menggembirakan bagi Muhammad Nahil Bajidung selain ketika dia berangkat ke tanah suci untuk menunaikan haji tahun ini.


Lelaki berasal dari Gowa, Sulawesi Selatan itu berkata, dia puas kerana ‘perjuangannya’ selama lima tahun lalu tidak sia-sia.

Kata Muhammad Nahil, 42, pada 2008 selepas setahun bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit di Malaysia, dia kembali ke Gowa dan mengunjungi pejabat urusan haji tempatan untuk mendaftar namanya bersama ibunya, Judi Tapui Tambu, untuk mengerjakan haji.

Namun, kata Muhammad Nahil, dia kecewa kerana setiap seorang perlu memiliki wang sekurang-kurangnya Rp40 juta (RM 10,790) sedangkan ketika itu dia hanya memiliki Rp20 juta (RM 5,390).

“Saya kemudian berunding dengan pegawai di situ dan meminta kebenaran supaya kami dibenarkan membuat bayaran secara ansuran,” katanya.

Selepas diberi kebenaran, Muhammad Nahil sekali lagi pergi ke Malaysia untuk mengumpul dana sehingga wang secukupnya selesai dibayar.

Katanya, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran dia tetap bersabar sehingga wang yang diperlukan berjaya dikumpul.

“Dan inilah hasilnya. Saya dan ibu diberi peluang mengerjakan haji tahun ini,” katanya sambil menahan air mata di depan ibunya.

Menceritakan perasaannya sejurus sebelum berangkat, Muhammad Nahil berkata, tiada ungkapan tepat dapat menggambarkan kegembiraannya.

“Tambahan pula ibu saya kurang sihat kerana mengalami masalah sakit urat serta strok, tapi kerana kesungguhan untuk ke tanah suci, dia tetap berazam menyempurnakan ibadah itu walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda,” katanya.
Mekah, Makasar, Malaysia

Artikel Sebelum

1 Kes Bunuh Diri Setiap 40 Saat

Artikel Lain