suria

Kisah Arsilan ‘Si Tukang Kebun Sukarno’

ARSILAN mendakwa ingatannya masih baik dan kuat. Dia masih mampu menyanyikan lagu berbahasa Jepun, Miyoto, dengan selamba.

Kata Arsilan, dia mempelajari lagu itu daripada tentera ketika menganggotai Heiho (pasukan keselamatan Indonesia yang ditubuhkan tentera Jepun) pada 1943.



Walaupun mengaku dilahirkan pada 1925, Arsilan enggan mengaku usianya 89 tahun, sebaliknya berkeras mendakwa dia sudah hidup di dunia selama 92 tahun.

Ketika ini, Arsilan menjadikan sebuah binaan kayu di tepi jalan di Jalan Bonang di bahagian timur Taman Proklamasi, Menteng, Jakarta sebagai kediaman tetapnya.

Di tepi jalan itu juga ada beberapa bangunan kayu lain yang digunakan oleh penjaja makanan.

Kedudukan gubuk berukuran 4 x 3.5 meter milik Arsilan itu agak terlindung kerana berada di belakang kedai rokok. Dari tepi jalan, seseorang hanya mudah melihat pintu masuk ke rumah Arsilan saja.

Di dalamnya berselerakan beberapa beg serta sejumlah bantal buruk.

Udara di dalam gubuk itu terasa lembab, berdebu dan berbau. Hanya sedikit cahaya masuk.

“Rumah ini sudah beberapa kali diruntuhkan pihak berkuasa tempatan tetapi saya membinanya semula selepas itu,” katanya.

Di sebalik keperitan hidupnya, Arsilan berkata, dia menetap di kawasan itu sejak 1945, malah ketika Presiden Sukarno membacakan proklamasi yang menjadi asas kemerdekaan Indonesia, dia turut hadir.

Kata Arsilan, keluarganya adalah pekerja di rumah Sukarno di Jakarta Pusat. Pada 1945 Arsilan berkata, dia bekerja sebagai tukang kebun yang menguruskan taman di pekarangan depan dan belakang rumah besar Sukarno.

“Saya dibayar gaji cuma 22 sen namun pada zaman itu wang berkenaan boleh membeli dua gantang beras,” katanya.

Ada satu peristiwa yang diingati Arsilan ketika menjadi penjaga taman Sukarno.

“Ianya hari Jumaat, 17 Ogos 1945.

“Saya sedang bersiap-siap mahu membersihkan rumput apabila saya mendapati rumah Bung Karno didatangi ramai tokoh perjuangan, termasuk sekumpulan pegawai kanan tentera,” katanya.

Disebabkan suasana luar biasa itu, kata Arsilan, penduduk setempat juga datang ke depan rumah presiden itu untuk mengetahui apa yang berlaku.

Arsilan antara yang menyaksikan Sukarno membacakan pengisytiharan kemerdekaan Indonesia.

Menjelang jam 10 pagi, Arsilan melihat Sukarno keluar dari kediamannya menuju ke depan rumah yang ketika itu dipenuhi ramai tokoh kemerdekaan.

Sebahagian daripada mereka, kata Arsilan, adalah tentera asing serta tentera Jepun yang ketika itu merosot semangatnya akibat kekalahan perang.

Kata Arsilan, acara itu dimulai dengan menaikkan bendera Sang Saka Merah Putih dengan diiringi lagu Indonesia Raya.

“Seingat saya bendera itu dijahit sendiri oleh isteri Bung Karno, Fatmawati, manakala tiang yang digunakan adalah buluh yang baru di beli dan ditegakkan sehari sebelum itu di kawasan Manggarai.

“Saya ikut memasang tiang buluh itu tetapi tidak diberitahu apa tujuannya.

“Ketika itu mana ada tiang besi kerana sudah digunakan tentera Jepun,” katanya.

Selepas Sang Saka Merah Putih berkibar Sukarno pun membacakan pengisytiharan kemerdekaan Indonesia namun kurang mendapat sambutan di kalangan orang awam.

Sebabnya? Kata Arsilan, mereka masih takut-takut untuk menyatakan kegembiraan.

Maklumlah, katanya, ketika itu rakyat Indonesia masih hidup di bawah ketakutan dan masing-masing dicurigai mata-mata, sama ada di pihak pejuang atau penjajah.

“Hanya selepas deklarasi itu berakhir, orang ramai serentak berteriak: Merdeka!” katanya.

Selepas itu, katanya, orang ramai melupakan ketakutan.

Melihat kepada keadaan itu, katanya, ramai yang hadir menitiskan air mata kegembiraan dan terharu kerana menganggap penderitaan masing-masing bakal berakhir.

Hakikatnya, kata Arsilan, penderitaan belum menjauh sepenuhnya kerana selepas Jepun diusir, Inggeris pula datang dan rakyat Indonesia sekali lagi menyambung perjuangan mendapatkan kemerdekaan.

“Selepas proklamasi dibaca, Sukarno kembali masuk ke rumah dan orang ramai bersurai,” katanya.

Namun, dokumen sejarah menunjukkan Sang Saka Merah Putih dikibar selepas Sukarno membacakan proklamasi kemerdekaan.

Ditanya mengenai percanggahan itu, Arsilan bertegas bahawa versinya adalah tepat kerana ia diperoleh hasil pemerhatiannya sendiri.

Dia juga menafikan mendapat maklumat itu daripada pembacaan.

“Mana mungkin saya membaca. Saya buta huruf,” katanya.

Arsilan juga bertegas mendakwa deklarasi kemerdekaan itu diadakan di rumah Sukarno, bukan di tempat yang kini berdiri Tugu Proklamasi.

"Dulu Bung Karno baca proklamasi di tiang petir, bukan di patung Bung Karno," tuturnya.

Sehingga 2003, Arsilan berkata, dia bekerja di kediaman keluarga Sukarno di kawasan Menteng dengan tugas terakhirnya sebagai pengawal keselamatan. Dia diberi gaji bulanan Rp400,000 (RM108).

Dia dan isterinya kemudian cuba berniaga surabi (lempeng tepung beras dengan santan) sehinggalah wanita berkenaan meninggal dunia.

Ketika itu, kata Arsilan, empat orang anaknya sudah mampu berdikari.

“Perniagaan itu pun saya hentikan,” katanya.

Kini lelaki berdarah Banten itu mendakwa menerima bantuan bernilai Rp1 juta (RM270) kerana jasanya melawan penjajah di Serpong pada 1940-an. Untuk menambah pendapatan, dia memungut botol plastik air mineral untuk dijual di kedai barangan lusuh.

 
 

 
Arsilan, Sukarno, tukang kebun

Artikel Berikut

Artikel Lain