suria

Ratu Elizabeth II Minta Rakyat Scotland Fikir Semasak-masaknya Sebelum Undi

Ratu Elizabeth dan suaminya, Putera Phillips (kiri) dan anaknya Putera Charles dalam satu majlis di Scotland baru-baru ini. Baginda akan terus kekal sebagai ketua negara Scotland jika negara itu memilih untuk memerintah sendiri, Khamis ini.

RATU ELIZABETH II melakukan campur tangan yang jarang-jarang baginda lakukan dalam urusan pentadbiran dan politik negara itu apabila baginda meminta rakyat Scotland supaya berfikir semasak-masaknya mengenai masa depan mereka sebelum membuat keputusan untuk mengundi sama ada untuk terus kekal di dalam kesatuan United Kingdom (UK) atau merdeka sepenuhnya.

Bagaimanapun baginda Ratu membuat gesaan tersebut dalam satu majlis tertutup di sebuah gereja pada ahad.

Sebelum ini Perdana Menteri Britain, David Cameron telah pun memberi ingatan kepada rakyat Scotland bahawa undi untuk merdeka bermakna mereka akan mengundi untuk berpisah secara kekal dengan UK.

Rakyat Scotland akan mengundi dalam satu referendum Khamis ini untuk menentukan sama ada mereka memilih untuk memerintah sendiri atau terus kekal bersama UK.

Cameron menegaskan, sebarang keputusan yang akan diambil Khamis ini adalah merupakan satu keputusan muktamad.

"Jika Scotland mengundi untuk memerintah sendiri, UK akan berpecah dua dan kita akan mengikut haluan masing-masing buat selama-lamanya," ujar beliau.

Beberapa orang selebriti termasuk ikon bolasepak, David Beckham turut berkempen untuk menyeru Scotland supaya terus kekal di bawah kesatuan UK demi masa depan rakyat dan negara itu.

Beberapa siri tinjauan pendapat mendapati, sokongan untuk kekal dan merdeka adalah hampir sama banyak yang mana tinjauan oleh akhbar Observer mendapati, 'undi untuk tidak' mencapai 53% sokongan manakala 'undi untuk merdeka' 47%.

Tinjauan oleh akhbar Sunday Times pula mendapati, 51% berkata 'tidak' manakala 49% 'untuk merdeka'.

Manakala tinjauan oleh akhbar Sunday Telegraph mendapati, 54% mahu memerintah sendiri manakala 46% mahu terus kekal bersama UK.

Dalam pada itu, pejuang kemerdekaan Scotland, Alex Salmond yang mewakili Parti Kebangsaan Scottish berkata, dalam tempoh 72 jam lagi, mereka yakin akan mencapai kata putus untuk memerintah sendiri sekaligus menyaksikan runtuhnya sebuah kesatuan yang telah bertahan selama 307 tahun.

"Saya sudah dapat merasakan momentum itu iaitu momentum untuk Scotland berdiri sebagai sebuah negara yang tunggal bukan lagi sebuah kesatuan," tegasnya.

Salmond juga cuba menyakinkan puak-puak tradisionalis bahawa "Ratu dan pengantinya" akan terus kekal sebagai ketua negara di dalam negara Scotland yang merdeka.

"Kami mahu Ratu Elizabeth II terus menjadi ratu dan pemerintah bangsa Scots," katanya dalam satu program yang diterbitkan oleh BBC1.

Sementara itu, jurucakap Istana Buckingham berkata: "Pihak istana tidak pernah mengeluarkan sebarang komen tentang apa yang diperkatakan secara peribadi oleh Ratu tetapi kami ingin menegaskan yang Ratu sentiasa mengekalkan pendirian berkecualinya selaku pemerintah dan ketua negara. Ratu sentiasa menegaskan yang ini (referendum) tersebut adalah urusan yang perlu ditentukan oleh rakyat Scotland sendiri."

Ibu Ratu Elizabeth II adalah berbangsa Scot.

Artikel Lain