suria

Dua Warga British Mangsa Pembunuhan Kejam Di Pulau Peranginan Thailand

Pasukan polis dan pihak berkuasa Pulau Tao di Teluk Siam dalam proses mengangkat dua mayat warga Britain yang ditemui mati dalam keadaan berbogel dan kesan tikaman yang dalam pada badan dan kepala mereka, pada pagi Isnin, 15 September 2014.

BANGKOK: Dua warga British ditemui mati di tepi pantai di sebuah pulau peranginan yang popular di Teluk Siam dipercayai dibunuh.

Pasangan British tersebut ditemui dalam keadaan badan dan kepala mereka mengalami beberapa kesan luka di pantai Pulau Tao yang agak popular di Teluk Siam.

Polis mengenalpasti, wanita yang meninggal dunia itu berusia 23 tahun manakala temannya berusia 24 tahun.

Agensi berita AFP memetik seorang pegawai polis, Jakkrapan Kaewkhao sebagai berkata, pasangan itu dipercayai mati dibunuh dan mayat mereka ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di tepi pantai yang berbatu di Pulau Tao dalam wilayah Surat Thani.

Pulau ini popular dengan aktiviti skuba dan menyelam.

"Mayat mereka ditemui 30 meter daripada bungalow tempat mereka menginap," ujar Jakkrapan, sambil menambah yang pasangan itu tiba di Thailand pada 25 Ogos lalu.

Katanya lagi, pakaian mangsa telah ditemui berdekatan dengan tempat kejadian malah polis turut menemui sebilah tajak dengan kesan darah di tempat kejadian.

Tambah pegawai polis itu lagi, terdapat kesan luka yang dalam pada kepala mangsa dipercayai disebabkan oleh tajak tersebut.

Sementara itu, salah seorang pekerja sebuah resort tepi pantai di pulau peranginan tersebut yang merupakan tempat mangsa menginap berkata, ini adalah kejadian pertama seumpama itu  di sini.

"Saya tidak pernah mendengar atau melihat insiden seperti ini terjadi di pulau ini," katanya lagi.

Media-media tempatan melaporkan, sebelum kejadian itu, berlangsung satu parti yang melibatkan lebih kurang 50 orang yang kebanyakkannya pelancong asing pada malam Ahad yang berakhir sehingga ke awal pagi Isnin.

Pulau Tao, yang popular di kalangan pengembara-pengembara 'backpackers' disifatkan sebagai sebuah pulau yang penuh dengan pengembaraan dan aksi sukan serta aman dan damai.

Kini media tempatan melabelkannya sebagai sebuah pulau yang tidak lagi aman.

Thailand, Pulau Tao

Artikel Sebelum

Artikel Lain