BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata pembunuhan dua pelancong warga British di Koh Tao pada Isnin, yang ditemui dalam keadaan bogel, tidak boleh diterima oleh rakyat dan kerajaan negara ini. Beliau berkata kes itu masih dalam siasatan dan pulau peranginan berkenaan,yang menjadi tarikan dalam kalangan pelancong, ditutup ketika polis serta tentera diarah memburu individu atau mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah berkenaan. Prayuth berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet pada Selasa. Masyarakat tempatan berpakaian serba hitam sebagai membantah insiden itu. Tiga pekerja migran dari Myanmar dilaporkan ditahan berhubung insiden itu, yang menurut polis berlaku antara pukul 3 pagi dan 5 pagi. Pasangan warga British dikenali sebagai Hannah Witheridge dan David Miller, kedua-duanya berusia 24 tahun, ditemui mati pada kira-kira 6.30 pagi. Mengulas tindakan terhadap pekerja migran yang terbabit dalam beberapa jenayah termasuk kes berprofil tinggi, Prayuth berkata kerajaan Thailand memutuskan untuk memperkenal pendaftaran bagi pekerja migran haram sebagai sebahagian usaha menangani masalah itu. Beliau juga berkata syarikat yang mengambil pekerja asing secara haram bakal berdepan tindakan undang-undang.