suria

100 Juta Pengundi Akan Tentukan Dua Kerajaan Negeri India Yang Baru

Modi ketika berkempen pada pilihan raya umum India Mei lalu.

MUMBAI: Hampir 100 juta pengundi telah memulakan proses mengundi dalam pilihan raya negeri di dua buah negeri di India pada Rabu iaitu yang pertama sejak Perdana Menteri, Narendra Modi merampas tampuk pemerintahan pusat dari tangan Parti Kongres India Mei lalu.

Lima bulan selepas parti berhaluan kanan, Bharatiya Janata Party (BJP) menang besar dalam pilihan raya kebangsaan, kini dua buah negeri iaitu Haryana di Utara dan Maharashtra di Barat India memulakan proses menentukan kerajaan negeri yang baru.

Modi telah turun berkempen secara besar-besaran di Maharashtra, yang mana Mumbai adalah ibu negerinya dan merupakan pusat kewangan dan ekonomi India.

Dia perlu menang di  Maharashtra untuk memastikan program reformasi ekonominya dapat dipacu dari wilayah ini sebagaimana yang dijanjikannya kepada para pengundi lima bulan lalu.

Modi sendiri menerusi laman tweetenya menyeru pengundi-pengundi muda keluar mengundi dan menjadi peneraju dan pemacu kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang rancak menerusi pelan yang dibentangkan oleh partinya.

Buat masa ini Parti Kongres pimpinan anak lelaki bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandhi iaitu Rahul menguasai pemerintahan di Maharashtra sejak 15 tahun yang lalu dan di Haryana sejak sedekad yang lalu.

Tidak sepertimana masa-masa yang lalu, BJP kali ini berkempen sendirian, tidak lagi bersama-sama Parti Shiv Sena, iaitu sekutu mereka di Maharashtra selama 25 tahun.

Maharashtra adalah negeri kedua paling padat di India dan Modi mengambil peluang itu untuk meletakkan iklan kempen menerusi akhbar-akhbar utama negeri tersebut untuk menyeru pengundi supaya memilih sebuah kerajaan yang jujur dan stabil.

Modi diberi mandat dengan majoriti yang kukuh pada pilihan raya kebangsaan yang lalu setelah dia berjanji untuk menentang korupsi dan mewujudkan peluang pekerjaan menerusi pelan reformasi ekonomi jangka panjang.

Bagaimanapun selepas lima bulan, rakyat masih ternanti-nanti pelaksanaan pelan ekonomi Modi. Sebaliknya dia hanya mengumumkan beberapa inisiatif kecil seperti pembukaan akaun bank untuk rakyat termiskin.

Artikel Berikut

Artikel Lain