suria

Perompak Ugut Bunuh Sukarelawan Terkenal Pakistan Sebelum Larikan Wang Tunai & Emas

Foto Abdul Sattar Edhi dan isterinya, Belqees (tengah) yang dirakamkan pada Mac 2002 ketika pusat kebajikannya diberi amanah untuk menjaga 11 orang bayi yang berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan oleh polis Karachi.

KARACHI: Lapan orang perompak yang bersenjatakan pistol telah merompak salah seorang sukarelawan kerja amal terkenal Pakistan dengan melarikan wang tunai sehingga AS$400,000 serta barangan kemas emas seberat lima kilogram daripadanya.

Menurut polis, kelapan-lapan perompak itu telah merompak Pusat Kebajikan Edhi di sini dengan menjadikan beberapa orang kakitangan pusat itu sebagai tebusan dan mengugut untuk membunuh pengasas pusat kebajikan itu Abdul Sattar Edhi dengan mengacukan pistol kearahnya.

Abdul Sattar, yang berusia 80 tahun merupakan salah seorang yang dikenali di Pakistan kerana kerja-kerja amalnya termasuklah menyediakan kemudahan ambulans di serata pelusuk negara itu dan menguruskan rumah tumpangan untuk wanita, kanak-kanak dan golongan yang melarat.

Menurut polis, perompak-perompak itu telah memecah masuk ke pusat berkenaan yang juga merupakan kediaman Abdul Sattar pada Ahad dan menjadikan kakitangan wanita sebagai tebusan.

Abdul Sattar ketika itu sedang tidur di biliknya dan hanya tersedar apabila para perompak berkenaan mengacukan senjata di kepalanya dan memaksanya membuka peti besi.

Tetapi selepas Abdul Sattar memberitahu yang anak kunci kepada peti besi itu berada di dalam simpanan isterinya, mereka memecah peti besi itu dan mengambil wang tunai serta apa sahaja barangan berharga yang tersimpan di dalamnya.

"Hasil siasatan kami mendapati, terdapat bantuan dalaman dalam rompakan tersebut," kata Zahid Hussain, salah seorang pegawai penyiasat dalam kes tersebut kepada agensi berita AFP.

"Barangan kemas yang dilarikan itu adalah milik orang ramai yang meletakkan kepercayaan kepada Abdul Sattar untuk menyimpannya di dalam peti besi tersebut kerana mereka fikir ia selamat manakala wang tunai itu adalah sumber kewangan untuk menguruskan pusat kebajikan berkenaan," kata salah seorang pengurus kanan Pusat Kebajikan Edhi, Anwer Kazmi, kepada AFP.

Abdul Sattar memperolehi sumber kewangan untuk kerja-kerja kebajikannya menerusi derma orang-ramai dan juga kempen kebajikan sewaktu majlis-majlis keagamaan.

Dia kini menderita sakit buah pinggang dan perlu melalui proses rawatan dialisis dua kali seminggu.


Artikel Sebelum

Muhammad Ali Tenat

Artikel Berikut

Artikel Lain