suria

Jusuf Kalla Hadir Majlis Peringati Mangsa Tsunami Di Banda Aceh

BANDA ACEH: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla menyertai ribuan orang di 'Blang Padang' di sini pagi Jumaat bagi memperingati ulang tahun ke-10 tragedi tsunami melanda Aceh.

Mereka berada di Blang Padang seawal pukul 8 pagi (waktu tempatan). Tepat pukul 8.15 pagi (9.15 pagi waktu Malaysia), seluruh penduduk Aceh bertafakur selama seminit.

Solat Jummat khas turut diadakan di Masjid Raya Baiturrahman sempena hari Jumaat hari ini. Tanah Perkuburan Masal Siron yang menempatkan kira-kira 47,000 mangsa tsunami turut dibanjiri ribuan orang yang dipenuhi suasana pilu dan sedih.

Bagi Cut Muliana Bunaga, 55, dari Nagan Raya Aceh yang terletak 300 kilometer dari Banda Aceh, setiap tahun dia akan mengunjungi tanah pekuburan ini bagi membacakan Yasin kepada kedua-dua anak perempuannya yang menjadi korban tsunami.

"Biarpun saya tinggal jauh dari sini, wajib bagi saya untuk datang setiap tahun. Bila masuk tanggal 26 Disember, saya dengan suami saya akan ke Banda Aceh dan datang ke kubur ini untuk anak saya," katanya kepada Bernama.

Cut Muliana turut menceritakan bahawa pada hari bencana, tiga anak perempuannya yang bersekolah di sebuah sekolah agama di utara Aceh dihanyut ombak tsunami.

Namun hanya anak perempuan pertamanya, Irfa Kurniawati, 18, yang terselamat manakala dua yang lain iaitu Rina Magasari, 13, dan Ului Yestari, 17, menjadi korban.

Dia sehingga kini tidak menemui mayat kedua-dua anaknya malah dia juga tidak pasti sama ada anak-anaknya itu dikuburkan di tanah pekuburan ini.

"Saya tidak tahu mana kedua-dua anak saya ditanam, sebab mayat mereka tidak dijumpai. Tapi saya yakin di sini, biarpun tidak ada dokumen sah yang menyatakan anak saya di tanah pekuburan ini, tetapi saya sebagai ibu, saya dapat merasai mereka di sini," katanya sambil mengalirkan air mata.

Banda Aceh, Tsunami

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sesiapa Saja Boleh Jadi PM Thai

Artikel Lain