SYDNEY: Nasib pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang di Laut Jawa tidak boleh disamakan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masih belum ditemui sehingga ke hari ini sejak hilang pada 8 Mac lalu, kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott. Australia mengetuai pencarian pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum ia dilaporkan hilang dari radar pada 8 Mac lalu dengan membawa 239 penumpang. "Saya percaya ia adalah satu kesilapan besar untuk menyamakan apa yang berlaku di sini dengan MH370. "MH370, masih kekal satu misteri besar sehingga hari ini. Jika sebuah pesawat berlepas dengan laluan biasa mengikut jadual tetap, ia hilang mungkin disebabkan faktor cuaca buruk. "Namun, ia bukan misteri seperti kehilangan pesawat MH370 dan bukan seperti MH17 yang ditembak jatuh," katanya. MH17, juga adalah sebuah pesawat MAS yang ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pada 17 Julai lalu di timur Ukraine. Dalam insiden itu, 298 penumpang maut dengan 38 daripadanya adalah rakyat Australia. MH370 dipercayai berakhir di Lautan Hindi selepas laluan asal dilencongkan atas sebab yang tidak diketahui dan berada di ruang udara selama beberapa jam menuju lokasi terpencil.