suria

Pemuda Islam Dipuji Selamatkan Yahudi Di Paris

Lassana Bathily

PARIS: Di tengah kekalutan dan kekeliruan orang ramai akibat serangan pelampau ke atas pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo, seorang pemuda Muslim menunjukkan akhlak terpuji umat Islam.

Ketika penyerang bersenjata menyerbu sebuah pasar raya milik Yahudi, Lassana Bathily, 24, membawa beberapa pelanggan ke tempat selamat untuk bersembunyi.

Lassana yang berasal dari Mali adalah seorang daripada pekerja di Pasar Raya Hyper Cacher di bandar Porte de Vincennes, Paris, Jumaat.

Dia mengarahkan enam pelanggan berbangsa Yahudi itu menyembunyikan diri dalam peti sejuk di bahagian belakang kedai berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Lassana berkata, ada beberapa pelanggan datang kepadanya dalam keadaan ketakutan.

“Saya membuka pintu peti sejuk itu, memadamkan lampu dan mematikan suiz peti sejuk.

“Selepas mereka masuk, saya mengarahkan mereka bertenang,” katanya.

Dalam kejadian itu, pasangan penjenayah bersenjata menyerbu kedai berkenaan dan menahan sejumlah tebusan dan mengakibatkan empat daripadanya terbunuh.

Penyerang, Amedy Coulibaly turut maut ketika cuba melarikan diri, namun pasangannya dilaporkan gagal ditangkap dan kini dipercayai berada di Syria.

Lassana berkata, dia menggunakan lif mengangkat barangan untuk keluar dari kedai itu dan menyalurkan maklumat diketahuinya kepada polis.

Antara data yang dikongsi bersama pihak berkuasa ialah suasana di dalam kedai serta tempat tebusan ditahan.

Di sebalik keberaniannya itu, Lassana enggan menganggap dirinya seorang wira.

“Saya cuma lakukan apa yang perlu,” katanya.
 
Charlie Hebdo, Lassana Bathily, Mali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain