suria

Perancis Mahu Ambil Pendekatan Baru Kendali Isu Radikal Umat Islam

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve menyampaikan ucapannya ketika melakukan lawatan rasmi ke Masjis Cenon di bandar Bordeaux, Perancis pada Rabu, 25 Februari 2015. Beliau dalam rangka lawatan ke masjid-masjid untuk bertemu dan berdialog dengan penganut-penganut agama Islam negara itu.

PARIS: Perancis merancang untuk memperkenalkan beberapa pakej pembaharuan dalam usaha mereka untuk mengendalikan isu radikalisme dalam Islam di negara itu.

Antara pendekatan yang akan diambil itu ialah langkah-langkah untuk mengintegrasikan masyarakat Islam di Perancis dengan budaya dan komuniti yang lain serta cara-cara untuk mencegah radikalisme.

Langkah ini diambil ekoran insiden serangan ke atas pejabat sebuah akhbar mingguan satira Perancis Charlie Hebdo 7 Januari lalu yang menyaksikan 12 orang terbunuh termasuk dua anggota polis dan kakitangan serta editor akhbar berkenaan.

Ia dilakukan oleh dua orang lelaki Islam berketurunan Algeria yang menetap di Perancis kerana membantah di atas tindakan akhbar berkenaan yang sering kali mentertawakan agama Islam serta Nabi Muhammad menerusi lakaran karikatur dan kartun.

Agensi berita AFP melaporkan pada Khamis, di antara pendekatan lain yang akan diambil ialah mengadakan dialog serta forum, mendekati pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam di Perancis, para intelektual Islam dan pemimpin masyarakat Islam.

Fokus juga akan diberikan dalam melatih imam dan pendakwah muda agar sentiasa melibatkan diri dengan aspirasi Perancis sebagai sebuah republik.

AFP memetik sumber-sumber Kementerian Dalam Negeri sebagai berkata, pihak kerajaan juga sedang melihat faktor-faktor radikalisme di dalam penjara dalam salah satu usaha untuk melakukan pembaharuan.

Salah seorang daripada dua penyerang dalam insiden Charlie Hebdo dipercayai menganut fahaman radikal ketika di dalam penjara.

Perancis mengakui hakikat yang mereka kekurangan ustaz atau tokoh agama yang mencukupi untuk memberi panduan agama yang sederhana kepada banduan-banduan Muslim.

Hanya terdapat 180 orang Ustaz yang berkhidmat di seluruh negara untuk mentarbiah para banduan Muslim di penjara Perancis.

Salah satu masalah utama di Perancis ialah, undang-undang sekularnya menetapkan adalah salah di sisi undang-undang untuk mengenalpasti status seseorang dari sudut agama yang dianutinya atau etniknya tetapi adalah dianggarkan 60 peratus populasi penjara di negara itu (40,000 banduan) beragama Islam.

"Ustaz atau paderi yang ingin berkhidmat di penjara Perancis diwajibkan mempunyai diploma atau kelayakan dalam prinsip-prinsip fundamental Republik Perancis," kata Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve kepada para pemberita selepas melawat tiga buah masjid di bandar Bordeaux.

Kerajaan Perancis sangat berhati-hati di dalam soal sensitif seperti soal agama apatah lagi dalam menentukan cara dan bentuk amalan sesuatu agama itu dpraktikkan kerana berpegang kepada konsep agama dan kenegaraan hendaklah dipisahkan atau tidak dicampur adukkan.

“Ia bukan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menentukan bagaimana amalan sesuatu agama itu ditentukan dan dalam kes ini siapakah seorang Muslim yang baik dan tidak,” kata seorang lagi kakitangan Kementerian dalam Negeri ketika dihubungi AFP.

Bagaimanapun, kerajaan Perancis mahukan para imam atau ustaz turut memperolehi diploma mengenai tanggungjawab sivik yang akan ditawarkan oleh pelbagai universiti awam di Perancis hujung tahun ini.

Ini adalah bagi membolehkan mereka mendalami dan memahami konsep dan nilai-nilai negara Perancis yang mengutamakan kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan.

Kerajaan Perancis buat masa ini melihat sebahagian besar imam dan ustaz di negara itu tidak menguasai bahasa Perancis dengan baik dan tidak memahami undang-undang.

Ia adalah satu bentuk keseimbangan yang sukar buat kerajaan Perancis apatah lagi usaha-usaha untuk mengintegrasikan empat hingga lima juta orang Islam di negara itu tidak menunjukkan perkembangan yang positif pada masa lalu.

Majlis Agama Islam Perancis yang dibentuk pada 2003, sentiasa dikritik kerana gagal mewakili suara masyarakat Islam di negara itu.

Yayasan Islam yang dibentuk pada 2005 juga gagal mencapai apa yang dihasratkan tetapi ia kini sedang proses dihidupkan semula menerusi pendekatan yang lebih praktikal.

Kerajaan Perancis juga sedang memantau silibus sekolah-sekolah agama di negara itu dan mereka mahu memastikan yang kurikulum kebangsaan turut diterapkan dalam silibus sekolah.

Bagaimanapun Mohamed-Ali Adraoui, seorang penyelidik di Sciences-Po University, Paris, khuatir, pembaharuan yang ingin dilakukan oleh kerajaan Perancis itu akan bertentangan dengan konsep sekular yang dipegang erat oleh Perancis selama ini.

“Negara ini berhadapan dengan risiko ia mengambil satu pendekatan yang paradoks dan bertentangan dengan prinsip-prinsip utuh yang ia pegang selama ini iaitu kerajaan dan agama tidak bercampur aduk," kata Mohamed-Ali.

Tetapi Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve berpendapat, apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah untuk memberi perlindungan kepada semua warganegaranya termasuklah yang beragama Islam.

“Adalah penting untuk Republik memberi perlindungan kepada semua anak bangsanya termasuklah masjid dan tempat ibadah orang Islam daripada tindak-tanduk anti-Islam,” kata Cazeneuve.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain