suria

Pulau Gunung Berapi Jepun Makin Membesar

Pulau gunung berapi terbaharu di Jepun ini meletus sekurang-kurangnya enam kali sehari.

TOKYO: Sebuah pulau gunung berapi kecil yang terbentuk bersebelahan Pulau Nishinoshima dua tahun lalu kini dikatakan semakin membesar.

Rakaman terbaharu menunjukkan pulau yang terletak di kawasan terpencil iaitu kira-kira 1,000 kilometer selatan ibu negara Jepun itu sedang memuntahkan magma atau batu lebur sekurang-kurangnya enam kali seminit.

Pulau yang dikesan pada November 2013 itu terbentuk daripada batu di kawasan perairan itu dan saiznya makin membesar apabila  gunung berapinya setinggi 100 meter itu berterusan meletus.

Keluasannya kini mencecah 2.46 kilometer persegi, menurut Pengawal Pesisir Pantai Jepun atau dengan kata lain sebesar 345 padang bola.

Kenji Nogami dari Institut Teknologi Tokyo yang membantu pemantauan pasukan pengawal pantai itu berkata, keaktifan gunung berapi di pulau itu dijangka berterusan untuk tempoh yang tidak dapat dipastikan.

"Tiada perubahan khusus pada lohong gunung berapi itu di mana letusan lava dapat dilihat beberapa kali dalam seminit.

"Magma pula semakin meninggi di kawasan rendah, manakala lavanya juga semakin jauh mengalir ke barat," katanya.

Situasi di pulau terpencil ini menyebabkan pihak berkuasa menasihatkan nelayan supaya tidak belayar di sekitar perairannya.

Nichinoshima, Jepun, gunung berapi, lava

Artikel Lain