suria

Gadis Rayu 'Ditidurkan' Selamanya Dapat Perhatian Presiden Chile

Valentina sempat berselfie bersama Bachelet di hospital.

SANTIAGO: Presiden Chile bergegas ke hospital pada Sabtu untuk melawat remaja perempuan berusia 14 tahun yang merayu kepada pemimpin negara itu supaya membenarkan doktor 'menidurkannya' kerana terlalu bosan dengan penyakit fibrosis sistik yang dihidapinya.

Rakaman rayuannya itu dimuat naik ke YouTube pada Khamis.

Susulan itu, kerajaan negara itu bertindak segera mengatakan "tidak"  sebaik mesej yang disampaikan remaja itu mula tersebar dengan meluasnya.

Presiden, Michelle Bachelet menerusi kenyataan rasminya berkata, beliau bertemu Valentina Maureira dan bapanya lebih sejam di Hospital University Catholic di ibu negara itu.

Bagaimanapun, pihak berwajib tidak memaklumkan butiran perbincangan antara mereka, kecuali menyediakan gambar lawatan pemimpin negara itu termasuk selfie yang dirakamkan Valentina bersama Bachelet yang juga seorang pakar kanak-kanak.

Valentina menarik perhatian ramai apabila dia memuat baik video yang dirakamkan di katil hospital berkenaan.

"Saya memohon untuk segera bercakap dengan presiden kerana semakin penat kerana terpaksa hidup dengan penyakit yang dihidapi. Saya mahukan kebenarannya untuk mendapat suntikan bagi membolehkan saya tidur selama-lamanya," katanya.

Valentina mempunyai abang yang menghidap penyakit sama, bagaimanapun meninggal dunia pada usia enam tahun.

Fibrosis sistik boleh mengakibatkan organ dalaman rosak terutama paru-paru sekali gus menyebabkan jangkitan yang boleh merosakkan tisu.

Kata Valentina, dia kesal kerana kurangnya pilihan untuk mengubati penyakit itu dan kini ia memudaratkan dirinya hingga mengganggu kehidupan hariannya.

Pada Khamis, jurucakap presiden, Alvaro Elizalde bersimpati dengan rayuan Valentina dan menegaskan bahawa undang-undang di Chile tidak membenarkan eutanasia atau mempercepatkan kematian seseorang.

"Adalah mustahil untuk tidak tersentuh dengan kata-kata gadis itu dan pada masa sama adalah sesuatu yang mustahil untuk memenuhi hasratnya itu," katanya.

Menerusi temubual bersama AP pada Khamis, bapa remaja itu, Fredy Maureira berkata, beliau menyokong permintaan anaknya walaupun sedih apabila pertama kali mendengar rayuan itu.

"Ia sesuatu yang sukar tetapi saya perlu menghormati keputusannya kerana dia yang menanggung kesakitan itu selama ini," katanya.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain