VICTORIA FALLS: Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-91 dengan menyediakan hidangan stik gajah untuk ribuan tetamu pada majlis yang mencecah kos $1 juta itu. Majlis pada Sabtu itu yang diadakan di sebuah hotel mewah di sini bagaimanapun mendapat kritikan pelbagai pihak kerana ia dianggap keterlaluan bagi negara yang mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi. Masing-masing dua gajah, kerbau dan rusa serta lima impala disembelih untuk barbeku gergasi pada majlis itu. Kebanyakan haiwan berkenaan disumbangkan peternak terkemuka negara itu, Tendai Musasa, lapor Los Angeles Times. Mugabe (tengah) bersama isterinya, Grace (kanan) serta anaknya, Bona (kiri) pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-91, Sabtu. Presiden Zimbabwe African National Union-Patriotic Front (Zanu-PF) parti politik negara itu memaklumkan, wang untuk mengadakan majlis itu dikumpul daripada orang perseorangan dan juga sumbangan syarikat. Ahli Parlimen Eropah turut mengutuk majlis itu terutama selepas pihak Kesatuan Eropah meluluskan AS$270 juga untuk bantuan bagi menyokong sektor pertanian dan kesihatan Zimbabwe. Mugabe yang memerintah negara itu sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1980 adalah pemimpin paling tertua di dunia. Ketika menghadiri majlis rasmi awal bulan ini, Mugabe terjatuh selepas gagal melangkah dengan baik apabila terlepas satu anak tangga. Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kejadian itu, Mugabe menganggap ia perkara biasa yang tidak seharusnya diperbesar-besarkan. Malahan, Mugabe juga menafikan isterinya, Grace Marufu yang juga Ketua Liga Wanita bagi parti yang diterajui suaminya sebagai seorang yang 'berkuasa' dalam pentadbiran negara itu. Mugabe mengahwini Grace, 49 pada 1996 dan dia lebih dikenali dengan panggilan "Gucci Grace" dan "Dis Grace".