SYDNEY: Rancangan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun untuk meletupkan tiga bom buatan sendiri di sekitar Melbourne berjaya dipatahkan pihak keselamatan Australia. Bertindak hasil maklumat yang diperoleh, polis negara itu menyerbu kediaman remaja itu dan menemui tiga alat peranti letupan. Laporan media tempatan menyebut, polis anti-keganasan menyerbu rumah keluarga remaja terbabit di pinggir bandar utara Greenvale pada Jumaat. Menurut polis, remaja berkenaan berdepan tuduhan berkaitan keganasan dan akan dihadapkan ke mahkamah kanak-kanak. "Apa yang dilakukan adalah kesalahan yang sangat serius dan melibatkan penggunaan alat-alat letupan. Jika kita tidak campur tangan, pasti terjadi sesuatu yang tidak diingini," kata Pesuruhjaya Polis Persekutuan, Mike Phelan, Sabtu. Bagaimanapun, Phelan enggan mengulas sama ada tangkapan tersebut ada kaitan dengan serangan bulan lalu di Melbourne, di mana lima lelaki muda ditahan, dua daripada mereka didakwa merancang serangan pengganas.