suria

Objek Umpama Peluru Mungkin Punca Kereta Api Amtrak Tergelincir

PHILADELPHIA: Siasatan mendapati kereta api yang tergelincir daripada landasan di sini pada Selasa hingga mengorbankan tujuh penumpang mungkin terkena objek umpama peluru beberapa minit sebelum kemalangan itu berlaku.

Perkara itu dilaporkan pegawai keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat pada Jumaat, selepas menjalankan siasatan terhadap kru kereta api, Amtrak Acela.

Menurut salah seorang ahli Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NSTB), Robert Sumwalt, pemandu kereta api tersebut, Brandon Bostian tidak mengingati kejadian yang turut mengakibatkan lebih 200 tercedera.

Beliau berkata, Agensi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) turut dipanggil untuk menjalankan siasatan terperinci dengan meneliti kesan pada kerosakan cermin berbentuk bulat pada kepala kereta api itu.

"Siasatan kini dijalankan untuk mengetahui kenapa kereta api bernombor 188 itu memecut pada kelajuan 160 kilometer sejam beberapa minit sebelum melalui selekoh yang hanya dibenarkan dengan kelajuan 80 kilometer sejam sahaja.

"Juga bagi mengenal pasti objek yang menyebabkan kemalangan itu," katanya.

Sumwalt berkata, beliau dimaklumkan oleh pembantu konduktor kereta api mengenai perbualan antara pemandu kereta api itu menerusi radio dengan pemandu kereta api lain dari Pengangkutan Berkuasa Tenggara Pennsylvania (Septa).

"Menerusi perbualan itu, Bostian memberitahu dia percaya kereta api yang dipandunya juga terkena objek yang tidak dikenali sebelum kemalangan," jelas Sumwalt.

Sementara itu, sebuah agensi media tempatan, The Philadelphia Inquirer serta beberapa agensi berita lain memetik kenyataan seorang penumpang melaporkan, cermin hadapan kepala kereta api itu terkena objek kira-kira lima minit sebelum memasuki Stesen 30th Street.

Stesen tersebut merupakan stesen terakhir kereta api Amtrak 188 berhenti, sepuluh minit sebelum tergelincir dari landasan.


Amtrak, FBI, Robert Sumwalt

Artikel Lain