BANGKOK: Thailand dijangka mendakwa lebih 70 individu termasuk seorang pemimpin kanan tentera dan lebih 10 pegawai kerajaan kerana terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia. Tangkapan menyusul selepas pihak berkuasa Thailand melakukan operasi membasmi jenayah pemerdagangan manusia di negara itu pada Mei lalu. Tindakan susulan dilakukan selepas rantau Asia Tenggara digemparkan dengan aktiviti pemerdagangan pendatang asing dari Myanmar dan Bangladesh, termasuk insiden ribuan warga asing terbabit ditinggalkan di laut dan kem-kem di hutan Thailand dan Malaysia. Pejabat Peguam Negara Thailand (OAG) mengeluarkan perintah untuk mendakwa 72 orang dengan 16 pertuduhan berkaitan penyeludupan manusia, kata jurucakap OAG, Wanchai Roujanavong pada satu sidang media di Bangkok. “Kami tidak akan biarkan orang berpengaruh merasakan mereka lebih tinggi daripada undang-undang. Lebih 12 pegawai kerajaan negeri akan didakwa. “Semua suspek tidak dibenarkan ikat jamin,” kata Wanchai. Jelas Wanchai, OAG memberikan keutamaan kepada kes tersebut kerana jenayah pemerdagangan manusia telah mencemarkan imej negara susulan penemuan sejumlah mayat di sepanjang sempadan Thailand dan Malaysia. Antara suspek yang didakwa termasuk Leftenan Jeneral Manas Kongpan yang dituduh menjadi dalang utama aktiviti lumayan itu. Pembabitannya dalam jenayah pemerdagangan manusia memberi tamparan kepada ketua junta Prayuth Chan-O-Cha yang berulang kali menegaskan bahawa rampasan kuasa tentera pada tahun lalu perlu dilakukan bagi membendung gejala rasuah yang berleluasa di bawah pemerintahan kerajaan awam. Manas dinaikkan pangkat ketika Prayuth menjadi komander tentera Thailand. Kira-kira 4,500 orang Rohingya dan imigran Bangladesh terkandas di perairan Asia Tenggara sejak beberapa bulan lalu sehingga dibenarkan mendarat di Malaysia, Indonesia,Bangladesh, Myanmar dan Thailand. – AFP