JAKARTA: Pasukan penyelamat menjumpai kotak hitam pesawat Trigana Air yang terhempas di kawasan pergunungan Papua pada Ahad. Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Arivada Barata mengesahkan kotak hitam pesawat tersebut ditemui kira-kira pukul 1.40 tengah hari (waktu tempatan). Terdahulu, Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) berkata pesawat turboprop ATR-42-300 itu mungkin merempuh puncak gunung sebelum terhempas ke dalam jurang di Gunung Bintang, kira-kira tujuh batu nautika dari Oksibil. Sementara itu, Pengarah Operasi BASARNAS, Heronimus Guru, berkata semua 54 penumpang pesawat itu disahkan terkorban. Pesawat yang berlepas dari ibu kota wilayah Papua, Jayapura itu dilaporkan membawa 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan lima kru.