suria

Bapa Aylan Kurdi Kembali Ke Syria

DAMSYIK: Kesedihan akibat kehilangan isteri serta dua anak lelakinya menyebabkan Abdullah Kurdi menolak tawaran untuk kerakyatan oleh kerajaan Kanada.

Abdullah adalah bapa kepada kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi yang terkorban dalam tragedi bot terbalik dan mayatnya ditemui di pesisir pantai Turki berdekatan sebuah resort di Bodrum pada 2 September 2015 yang tersebar di media sosial.

Selain Aylan, Abdullah juga kehilangan isteri dan seorang lagi anak lelaki berusia lima tahun dalam insiden menggemparkan itu.

Susulan kejadian menyayat hati, Abdullah dilaporkan telah kembali ke bandar kelahirannya di Kobani, Syria untuk mengebumikan keluarganya.

"Dia mahu ke Eropah demi kehidupan lebih baik untuk anak-anaknya. Tetapi, kini mereka telah tiada dan Abdullah memutuskan untuk terus tinggal di sini kerana mahu berada dekat dengan pusara keluarganya," kata pakciknya, Suleiman Kurdi katanya kepada Press TV.

Difahamkan, keluarga Abdullah adalah antara 12 pemohon suaka yang maut ketika cuba untuk merentasi Laut Aegean dari Turki menuju ke Pulau Kos pada Rabu lalu.

"Laut bergelora dan ombak sangat tinggi ketika itu hingga menyebabkan bot yang membawa 23 pelarian Syria termasuk kami sekeluarga terbalik. Ia berlaku terlalu pantas dan saya hanya dapat memeluk mayat mereka," katanya dalam nada sedih.

Gambar jenazah Aylan dalam keadaan kaku di tepi pantai itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang mula bimbang dengan nasib kumpulan pelarian dari zon konflik di Afrika dan Timur Tengah.

Berpakaian t-shirt merah dan seluar biru, mangsa yang berusia 3 tahun dari bandar Kurdish-Syrian itu dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece, namun lemas apabila bot dinaiki mereka karam.




Aylan Kurdi, Syria, Kanada

Artikel Lain